
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) rasmi melancarkan EGO Gear Pro Hybrid serba baharu ke pasaran tempatan pada harga cadangan RM6,198 seunit.
Dilancarkan di Terengganu yang merupakan pasaran terbesar segmen skuter, EGO Gear Pro menggunakan enjin 125cc SOHC penyejukkan udara 4-lejang berkuasa 8.4PS @ 6,500rpm dan tork 9.9Nm @ 5,000rpm bersama transmisi V-automatik.
Dikuasakan oleh enjin BLUE CORE Hybrid, EGO Gear Pro menawarkan penjimatan petrol, rasa tunggangan premium serta getaran enjin yang rendah.
Ia turut dilengkapi dengan fungsi Power Assist, yang memberikan kuasa tambahan semasa memecut dari keadaan berhenti, terutamanya apabila menunggang bersama pembonceng atau ketika memulakan perjalanan di jalan berbukit.
Tawaran Smart Motor Generator (SMG) menawarkan permulaan senyap, one-push start dan operasi Stop & Start yang lebih lancar.
Dengan tangki petrol 5.1 liter, penunggang dapat menikmati jarak tunggangan harian yang lebih praktikal dan memadai.
Daripada segi penampilan, skuter dengan panjang 1,850mm, lebar (685mm) dan tinggi (1,075mm) itu menawarkan kawalan yang tangkas di laluan sempit.
Keselesaan tunggangan diserahkan kepada suspensi depan teleskopik dan lengan buai di belakang bersama brek cakera hidraulik di depan dan brek dram di belakang.
Ciri peralatan lain yang ditawarkan termasuklah lampu hadapan LED, paparan meter LCD, ruang storan bawah pelana 18.6 liter dan lantai kaki anti-gelincir.
EGO Gear Pro dengan berat 95kg itu didatangkan dengan rekaan semula tempat duduk yang memberikan keselesaan lebih baik kepada penunggang dan pembonceng, manakala pemegang belakang bersama rak rata menambah fleksibiliti untuk membawa barang.
Selain itu, ia ditawarkan dengan aplikasi Y-Connect yang membolehkan pengguna menerima notifikasi panggilan dan mesej, peringatan penyelenggaraan, data penggunaan bahan api, serta lokasi parkir terakhir.
Ia juga turut dilengkapi dengan fungsi Answer Back yang memudahkan pencarian motosikal.
EGO Gear Pro Hybrid ditawarkan dalam tiga pilihan warna gaya hidup terkini iaitu Stellar White, Navy Green dan Cosmic Blu.































