
Sebuah kereta elektrik (EV) BYD Seal terbakar di garaj rumah di kawasan Palmerah, Jakarta Barat.
Kebakaran berkenaan dipercayai berpunca daripada bateri selepas EV itu tidak digunakan dalam tempoh tiga hari.
Kepala Seksi Operasi (Kasiops), Gulkarmat Jakbar Syarifudin berkata insiden kebakaran itu berlaku pada Selasa lalu sekitar jam 4 pagi (waktu jawa barat).
“Diduga kerana fenomena elektrik pada bateri EV.
“Kereta berada di garaj rumah setelah tiga hari tidak digunakan dan tiba-tiba kereta mengeluarkan asap hingga sempat terdengar letupan.
“Kemudian pemilik melapor dengan menelefon ke bomba Sektor Kembangan dan langsung memadam kebakaran,” jelasnya.
Operasi memadam kebakaran selesai pada jam 7.39 pagi.
INSIDEN ASAP BUKAN TERBAKAR API MARAK
Sementara itu, Liputan6 melaporkan BYD Motor Indonesia, melalui Ketua Pegawai Perhubungan, Luther Panjaitan menyampaikan rasa prihatin terhadap insiden yang menimpa pemilik BYD Seal itu, dan memohon maaf di atas kesulitan tersebut.
Bagaimanapun, pengedar rasmi jenama BYD di Indonesia itu menegaskan ia merupakan insiden asap bukannya terbakar melibatkan api yang marak seperti dalam gambar yang tular.
“Kita perlu menjelaskan bahawa apa yang berlaku adalah kejadian asap, dan bukannya dari kebakaran seperti beberapa gambar yang beredar.
“Di mana, ia menunjukkan pantulan cahaya lampu kereta merah pada asap,” jelasnya.
Tambah beliau, BYD Motor Indonesia telahpun membawa EV berkenaan ke pusat servis untuk tindakan lanjut.
“Pada masa ini, pasukan selepas jualan BYD sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti masalah secara terperinci, dan mencari punca masalah,” kata Luther.