
Pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, Avatr Technology memfailkan saman terhadap pempengaruh media sosial bernama Zurich Beileye dengan tuntutan ganti rugi sebanyak CNY 10 juta (RM6 juta) atas dakwaan salah fakta mengenai prosedur ujian aerodinamik syarikat tersebut.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jabatan undang-undang Avatr pada 13 Mei lalu, pempengaruh tersebut seharusnya menerbitkan video permohonan maaf.
Sebaliknya, pada video berkenaan pemuda itu didakwa terus memutarbelitkan fakta dengan mendakwa Avatr menggunakan kenderaan prototaip, bukannya model produksi ketika siaran langsung ujian pekali seretan.
“Pencipta kandungan media sosial ‘Zurich Beileye’ telah mengambil kandungan di luar konteks dan sengaja menimbulkan kekeliruan awam, seterusnya mengelirukan orang ramai mengenai keputusan ujian kami dan pengiktirafan produk, menyebabkan kerosakan tambahan kepada imej jenama,” jelas Avatr.
Konflik bermula apabila pempengaruh tersebut mempersoalkan kesahihan ujian pekali seretan model Avatr 12 dengan dakwaan kemungkinan pemalsuan keputusan.
Sebagai respons, Avatr menghantar surat tuntutan henti yang menggesa penarikan balik semua kenyataan palsu dan permohonan maaf secara terbuka.
Walaupun pempengaruh itu menerbitkan video permohonan maaf seperti yang diminta, Avatr mendakwa pemuda itu menyunting klip dari siaran langsung syarikat untuk memberi gambaran bahawa jenama itu menggunakan kenderaan prototaip ketika ujian, yang kemudiannya mencetuskan kritikan baharu.

Avatr menegaskan bahawa ujian terowong angin dijalankan menggunakan versi produksi model elektrik Avatr 12 yang dilengkapi dengan cermin sisi elektronik, bukan prototaip seperti yang didakwa. Penjelasan ini telah diterbitkan di akaun media sosial rasmi syarikat sejurus selepas ujian selesai.
Syarikat tersebut mengakhiri kenyataannya dengan memberi amaran bahawa internet bukanlah tempat yang terlepas dari jangkauan undang-undang. Mereka akan terus menggunakan saluran undang-undang untuk melindungi hak dan kepentingan syarikat dan penggunanya daripada khabar angin dan fitnah.