Utama Berita Automotif Nahas pelajar UPSI : Kelajuan bas melebih dua kali ganda had selamat...

Nahas pelajar UPSI : Kelajuan bas melebih dua kali ganda had selamat laluan

101

Laporan awal Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan oleh Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mendedahkan had laju bas persiaran dalam nahas melibatkan pelajar Universiti Sultan Idris Shah (UPSI) adalah dua kali ganda ditetapkan.

Had laju di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak itu adalah 60kmj.

Berdasarkan analisis trajektori, rekonstruksi pergerakan sebelum kejadian dan penilaian terhadap kelajuan kritikal selekoh menunjukkan bas berkenaan dipandu pada kelajuan melebihi had selamat untuk laluan tersebut.

Kemungkinan, kelajuan ketika nahas adalah 117.6kmj dan ia melebihi kelajuan kritikal untuk terbalik iaitu sekitar 111.3 hingga 114.5 kmj yang telah ditentukan melalui analisis teknikal.

“Kenderaan terbalik ke sisi kiri sebelum bergesel dan menghentam penghadang jalan jenis W-beam, yang kemudiannya menembusi ke dalam ruang kabin dan menyebabkan kecederaan parah serta kematian dalam kalangan penumpang.

“Antara punca kemalangan bas itu adalah akibat kegagalan kenderaan itu mengawal kelajuan ketika melalui selekoh di laluan menuruni bukit menyebabkannya terbalik ke arah kiri jalan,” menurut laporan tersebut.

SISTEM BREK DALAM KEADAAN BAIK

Bagaimanapun laporan itu berkata siasatan setakat ini belum mengesahkan sebarang kerosakan teknikal berkaitan kegagalan sistem brek seperti yang didakwa pemandu bas sebelum ini.

Malah hasil pemeriksaan mendapati, semua sistem brek yang digunakan iaitu dram dan pelapik brek didapati berada dalam keadaan baik.

“Pemeriksaan awal mengenalpasti tanda-tanda kemungkinan pemanasan melampau pada komponen brek, namun keadaan ini juga bolen berpunca daripada penggunaan brek yang berlebinan atau tidak sesuai.

“Penilaian terperinci masih dijalankan dan akan dilaporkan dalam Laporan Akhir,” jelasnya.

Selain itu laporan awal turut menyebut faktor penyumbang kepada kemalangan tersebut termasuk infrastruktur jalan raya lokasi kejadian yang tidak mempunyai perlindungan mencukupi bagi pemanduan selamat di laluan berbukit dan berselekoh tajam.

Selain itu katanya, bas itu tidak dilengkapi peranti kawalan kelajuan dan pemantauan seperti SLD atau GPS aktif pada kenderaan yang menghalang sebarang pengesanan awal dan kawalan terhadap kelajuan berlebihan.

“Kelemahan struktur atas (superstructure) bas dan ketiadaan sistem kekangan penumpang seperti tali pinggang keledar turut menyumbang kepada kecederaan yang lebih parah, khususnya apabila berlaku pelanggaran dengan struktur jalan,” ujarnya.

Siasatan awal pasukan turut mendapati amalan pengendalian tidak sah dan ketidakpatuhan serius terhadap peraturan pelesenan dan keselamatan, termasuk pemajakan lesen tanpa kebenaran serta manipulasi dalam permohonan dokumen pengawalseliaan.

Malah katanya, pemandu didapati mempunyai rekod kesalahan lalu lintas yang tinggi termasuk saman yang belum dijelaskan.

Ia melibatkan 18 saman bagi pemandu pertama dan lebih 20 saman gabungan bagi pemandu kedua.

ARTIKEL LAIN

“Mayat bergelimpangan dalam longkang dengan sebahagian badan tidak sempurna,” bomba

 

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here