Van sekolah terbalik langgar lubang ‘manhole’

437

Sebuah van sekolah yang membawa 16 murid terbalik selepas melanggar sebuah lubang jalan yang tidak ditutup di Jalan Abdul Samad di Johor Bahru, pagi tadi.

Difahamkan, semua murid yang terlibat dalam kejadian itu telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk menerima rawatan lanjut.

Beberapa gambar kemalangan berkenaan turut tular di laman Facebook Community Roda Johor, menunjukkan keadaan van yang terbalik serta usaha menyelamat oleh orang awam.

Sementara itu, Bernama melaporkan seramai 10 murid cedera dalam kejadian tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 7 pagi dan mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Van itu dinaiki 16 murid dan pelajar terdiri daripada tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) hd Khalid, tiga pelajar SMK Aminuddin Baki dan 10 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) JalanYahya Awal.

“Kesemua 10 murid SJKT Jalan Yahya Awal yang cedera itu antaranya mengalami patah tangan, patah jari dan kecederaan ringan lain. Masing-masing berusia antara 10 hingga 12 tahun,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Beliau berkata insiden itu amat menyentuh hati, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan keselamatan anak-anak yang masih di bangku sekolah.

Pihak berkuasa juga, katanya sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenalpasti punca kemalangan dan tindakan sewajarnya akan diambil demi menjamin keselamatan pelajar.

“Sama-sama kita doakan agar semua yang cedera segera sembuh dan dipermudahkan urusan mereka serta keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here