
Subaru of America memperkenalkan crossover kompak elektrik Subaru Uncharted.
Dengan nama Uncharted yang melambangkan keupayaan kenderaan untuk membawa pemiliknya ke pengembaraan baharu, model ini bakal tersedia di pengedar seluruh Amerika Syarikat pada awal tahun 2026.
Uncharted juga lambang kerjasama di antara Subaru dan Toyota. Model ini kembar kepada Toyota C-HR Electric dan lambang sinergi di antara kedua-dua jenama.
Walau bagaimanapun, Subaru memastikan identiti tersendiri bagi Uncharted dengan rupa depan yang berbeza.
Reka bentuk
Reka bentuk Subaru Uncharted 2026 menekankan kebolehgunaan dan prestasi dengan garis-garis yang kemas dan sporti.
Bahagian depan menampilkan gaya lampu khas Subaru yang turut digunakan pada model Solterra dan Trailseeker 2026.
Lampu depan unik ini tahan cuaca dan menarik perhatian dengan logo enam bintang bercahaya.
Uncharted dilengkapi rekaan roda baharu bersaiz 18 atau 20 inci.
Untuk Uncharted GT, pilihan bumbung dua tona dengan kontras tinggi tersedia untuk daya tarikan yang lebih menonjol.
Di bahagian belakang, Unchartered menampilkan lampu gabungan yang kemas, emblem hitam, garis pinggang tinggi dengan fasia bawah berwarna perak.
Selain itu, model pacuan semua roda (AWD) didatangkan dengan rel bumbung profil rendah untuk kemudahan membawa barangan tambahan.
Di bahagian dalam, kabin yang lapang menonjolkan garis mendatar yang tajam, riasan dalaman oren eksklusif, bahan sentuhan lembut dan balutan dalaman Subaru StarTex® yang tersedia pada Uncharted GT dan Sport.
Penumpang belakang menikmati ruang kaki yang luas, setanding dengan Subaru Crosstrek dan bahagian sisi dengan pemanas pada Uncharted GT.
Spesifikasi Utama Subaru Uncharted 2026:
- Kuasa: Sehingga 338 kuasa kuda (hp)
- Pecutan: 0-96 km/j dalam masa kurang dari 5 saat
- Pengecasan Pantas (DC): Dari 10% hingga 80% dalam masa sekitar 30 minit
- Jarak Pemanduan (Anggaran Pengeluar):
- Uncharted Premium FWD: Lebih dari 480 kilometer (sekali cas)
- Uncharted Sport & GT: Sehingga 467 kilometer (sekali cas)
- Bateri: Litium-ion berkapasiti tinggi 74.7 kWj
- Jenis Pacuan:
- Symmetrical All-Wheel Drive (AWD): Standard pada kebanyakan model (Sport & GT)
- Depan (FWD): Tersedia pada model Premium FWD
- Port Pengecasan: NACS (sehingga 150 kW)
- Pengecas Onboard (AC): 11 kW (Serasi Tahap Satu & Tahap Dua)
Prestasi Dinamik untuk Setiap Perjalanan
Subaru Uncharted 2026 direka untuk memberikan prestasi yang dinamik dan cekap. Model dengan dua motor elektrik yang terletak pada gandar depan dan belakang, menghasilkan sehingga 338 hp.
Pengendalian yang responsif diimbangi oleh suspensi yang ditala khusus oleh Subaru, memastikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.
Berbanding dengan Solterra EV, Subaru Uncharted ini adalah hampir 7 inci lebih pendek, namun masih menawarkan lebih dari 25 kaki padu ruang kargo di belakang barisan kedua.
Keupayaan pemanduan di bandar juga dipertingkatkan dengan radius pusingan yang hampir serupa dengan Crosstrek.
Untuk pelanggan yang mahukan pilihan lebih berpatutan dengan jarak pemanduan, varian Uncharted Premium FWD akan ditawarkan dalam jumlah terhad.
Varian pacuan roda depan ini boleh dipandu dengan anggaran jarak lebih dari 480 km dan menghasilkan 221 hp.
Varian ini juga dijangka memberikan lebih kuasa kuda berbanding Hyundai Kona EV dan Kia Niro EV.
Subaru menekankan kestabilan garis lurus, pengendalian, dan cengkaman pada permukaan kurang cengkaman seperti kerikil, tanah, atau salji melalui pembangunan casis yang mendalam.
Hasil penggunaan keluli berkekuatan tinggi yang ringan dan tegar, sokongan struktur daripada bateri bawah lantai, penambahbaikan aerodinamik dan komponen suspensi yang ditala secara khusus, Subaru Uncharted menawarkan prestasi dinamik di jalan raya dan off-road.
Ciri-ciri Asas dan Port NACS
Bahagian dalaman Subaru Uncharted 2026 menampilkan skrin sentuh 14 inci standard untuk dengan Apple CarPlay® dan Android Auto™ tanpa wayar.
Pengecas telefon pintar tanpa wayar berkembar pada konsol tengah dan dua pengecas USB-C di tempat duduk belakang memastikan peranti sentiasa berkuasa.
Ciri-ciri standard lain termasuk pintu but berkuasa, pencahayaan suasana dalaman, dan Sistem Mitigasi Gangguan Pemandu DriverFocus®.
Uncharted Sport dibekalkan fungsi X-MODE® Dual-Mode dengan Grip Control, stereng dengan pemanas, balutan kalis air StarTex® dan monitor pandangan panoramik.
Uncharted GT pula istimewa dilengkapi bumbung kaca panoramik dan pelindung bermotor, roda 20 inci, tempat duduk depan dengan fungsi pengudaraan, sistem audio premium Harman Kardon® dan cermin pandang belakang pintar.
Uncharted dilengkapi port pengecasan NACS yang boleh digunakan di lebih 15,000 stesen Tesla Supercharger.
Sistem pra-penyediaan bateri membolehkan pengecasan pantas dari 10% hingga 80% dalam masa hampir 30 minit walaupun dalam keadaan cuaca sejuk.
Untuk pengecasan di rumah, pengecas onboard 11 kW memudahkan pengecasan Tahap Satu dan Tahap Dua.
Semua varian Uncharted dilengkapi Pakej All-Weather merangkumi tempat duduk depan dan cermin sisi dengan pemanas dan penyahbeku pengelap cermin depan.
Bantuan Pemanduan EyeSight®
- Brek Pra-Pelanggaran
- Amaran Trafik Lintasan Hadapan
- Pemantau Titik Buta
- Amaran Keluar Lorong
- Bantuan Henti Kecemasan
- Kawalan Jelajah Adaptif Termaju
Ciri-ciri lain seperti monitor pandangan panoramik, Bantuan Kesesakan Jalan Raya dan Bantuan Penukaran Lorong juga tersedia pada tahap varian tertentu.
Maklumat mengenai harga dan spesifikasi yang lebih terperinci akan diumumkan dekat dengan tarikh pelancaran pasaran pada awal tahun 2026.