Remaja maut, adik cedera motosikal ditunggang langgar lori

26

Seorang remaja maut manakala adiknya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Parit Lanjut, Bukit Pasir, Pagoh pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada orang awam pada jam 12 tengah hari.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila seorang lelaki warga tempatan berusia 61 tahun sedang memandu sebuah lori dari arah Parit Naib Kadir menuju ke Parit Lanjut.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu lori telah berhenti di persimpangan dan setelah memastikan lalu lintas selamat, dia membelok ke kanan jalan untuk masuk ke simpang di sebelah kanan.

“Ketika lori berkenaan membelok, motosikal yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan dibonceng adiknya berusia enam tahun yang datang dari arah belakang telah melanggar lori tersebut,” katanya.

Menurut beliau, akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala, pembonceng motosikal pula mengalami kecederaan parah di kepala serta muka, dan kini sedang dirawat di Zon Merah, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Noor Khairun Izham Nor Yusry di talian 013-9121508, atau tampil ke Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk membantu siasatan,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here