
Satu abad lebih telah berlalu sejak jentera Škoda pertama kali membelah debu jalanan dalam perlumbaan dari Paris ke Berlin pada tahun 1901.
Detik bersejarah itu bukan sekadar satu perlumbaan, malah ia merupakan titik mula kepada sebuah empayar sukan permotoran yang kini dikenali sebagai Škoda Motorsport.
Menjelang tahun 2026, jenama dari Mladá Boleslav ini bersedia untuk meraikan ulang tahun ke 125 dengan penuh gaya, membawa bersama semangat juara yang telah memahat nama mereka dalam sejarah rali dunia.
Pencapaian ini bukan sekadar angka, tetapi bukti kekuatan jentera mereka yang kini mendominasi kategori WRC2 dalam Kejohanan Rali Dunia FIA serta pelbagai siri rali serantau.
Sebagai simbol penghargaan kepada legasi yang panjang, Škoda Motorsport melancarkan edisi ulang tahun khas buat jentera rali terulung mereka, Škoda Fabia RS Rally2.
Jentera rali ini hadir dengan pelbagai ciri-ciri eksklusif untuk pasukan pelanggan di seluruh dunia.
Pakej Eksklusif Ulang Tahun 125 Tahun
Setiap unit Škoda Fabia RS Rally2 dilengkapi tingkap belakang polikarbonat, pelindung crossmember dan CV joint dan enam unit rim OZ magnesium warna istimewa.
Bagi menyerlahkan lagi penampilan, jentera ini dihiasi grafik khas 125 Years serta logo Unique Dark Chrome pada bonet.
Masuk ke ruang kabin, pemandu akan disambut dengan plak khas dan paparan aluan 125 Years pada panel instrumen sebagai tanda kenang-kenangan edisi ulang tahun ini.
Pakej ini turut melibatkan penggunaan pendawaian enjin jenis ringan dan panel pusat yang telah dikemas kini.
Beg lampu khas juga disertakan jika pembeli memilih pilihan lampu tambahan.
Sebagai pelengkap, setiap unit disertakan dengan sarung kereta fabrik yang membawa logo 125 Years Škoda Motorsport serta barangan cenderahati.
Sokongan Berterusan dalam Kejohanan Rali
Bagi tahun 2026, Škoda Motorsport meneruskan komitmen dengan menyokong pasukan yang bertanding dalam Kejohanan Rali Eropah melalui Program Bonus yang kini memasuki tahun ketiga berturut-turut.
Khidmat sokongan teknikal melalui trak alat ganti khas juga akan disediakan di lokasi WRC dan ERC terpilih bagi membantu pasukan yang menggunakan jentera Škoda.
Kejayaan ini menyusul selepas prestasi cemerlang pada tahun 2025 di mana jentera Fabia RS Rally2 terbukti sebagai antara model paling berjaya.
Di antara pencapaian utama termasuk kejuaran pasukan WRC2 oleh Toksport WRT serta kejuaraan dalam kategori WRC2 Challenger dan WRC Masters Cup.
Di peringkat rantau Asia Pasifik dan Timur Tengah, jentera ini turut merangkul gelaran juara selain memenangi 20 lagi kejohanan kebangsaan di seluruh dunia.
Rangkaian Kuasa
Jentera rali ini dibina berasaskan model Škoda Fabia generasi ke 4 yang telah diubah suai sepenuhnya untuk sistem pacuan empat roda.
Ia dikuasakan enjin 4 silinder 1,620cc dengan pengecas turbo. Enjin ini menggunakan sistem suntikan terus dan dilengkapi pemasaan injap berubah-ubah untuk bahagian masukan serta ekzos.
Sistem rangkaian kuasa menghasilkan 294 ps dengan tork puncak sebanyak 432Nm.
Kesemua kuasa disalurkan melalui kotak gear 5 kelajuan dengan sistem penukaran gear manual berturutan.
Spesifikasi Teknikal Škoda Fabia RS Rally2
- Model Asas: Škoda Fabia generasi ke 4
- Enjin: 1,620cc, 4 silinder dengan pengecas turbo
- Sistem Suntikan: Suntikan terus
- Kuasa Maksimum: 294 ps
- Tork Maksimum: 432Nm
- Transmisi: 5 kelajuan manual berturutan
- Pacuan: 4×4
- Sistem Pembeza: Mekanikal hadapan dan belakang
- Kerangka Badan: Diubah suai untuk pacuan 4×4 dengan rangka keselamatan
- Panjang: 4,108 mm
- Lebar Maksimum: 1,820 mm
- Jarak Roda: 2,569 mm
- Berat Minimum: 1,230 kg
- Sistem Gantungan: McPherson hadapan dan belakang
- Cakera Brek Asfalt: Dua sisi berdiameter 355 mm dengan lebar 32 mm
- Cakera Brek Kerikil: Dua sisi berdiameter 300 mm dengan lebar 32 mm
- Sistem Elektronik: Marelli Motorsport
- Tangki Bahan Api: Kapasiti 82.5 liter
- Kadar Penggunaan Bahan Api: 0.6 liter setiap km semasa Peringkat Khas (SS)
- Rim Asfalt: 8 inci x 18 inci dengan berat minimum 8.9 kg
- Rim Kerikil: 7 inci x 15 inci dengan berat minimum 8.6 kg
- Tayar: Hankook





