
Berani dan melampau!. Itu tindakan seorang pemandu warga asing yang dikesan melakukan ‘pakej lengkap’ kesalahan jalan raya sebelum kenderaannya disita dalam operasi di Lebuhraya Persekutuan, pada Isnin.
Dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor itu, pemandu warga asing terbabit gagal mengemukakan Lesen Memandu Kompeten (CDL) serta Lesen Vokasional (GDL).
Menurut kenyataan, lori berkenaan juga dikesan gagal menjalani pemeriksaan berkala di Puspakom selepas sijil pemeriksaannya turut disahkan tamat tempoh.
Bahkan, Lesen Kenderaan Motor (LKM) juga didapati telah tamat tempoh. Susulan itu, kenderaan berkenaan disita ke JPJ Shah Alam untuk tindakan lanjut.
“Pemantauan berterusan akan dilakukan secara konsisten ke atas semua aduan bagi memastikan semua kenderaan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan demi keselamatan pengguna lain,” katanya.
Orang awam yang ingin menyalurkan aduan kesalahan lalu lintas boleh berbuat demikian melalui emel aduantrafik@jpj.gov.my atau melalui platform aplikasi e-aduan dengan menyertakan butiran lengkap aduan.


