Škoda Enyaq vRS dan Enyaq Coupé vRS 2025 – EV Eropah yang garang, 0-100 km/j 5.4 saat

11

Tidak dinafikan sekarang ini masa emas untuk pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China.

Pelbagai model yang canggih dan menarik ditawarkan selain startegi agresif dalam mengembangkan pasaran ke serata dunia.

Pengeluar Eropah juga tidak kurang hebat cuma perhatian kurang diberikan kepada mereka.

Satu daripada jenama Eropah yang bukan sahaja mempunyai EV tetapi juga versi berprestasi ialah Škoda dengan model yang dikenali sebagai vRS atau RS.

Versi tersebut dikembangkan dari model dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada EV.

Tradisi model sporty vRS Škoda bermula pada tahun 2000, dengan Octavia vRS generasi pertama. Sejak itu, setiap generasi Octavia menampilkan varian vRS.

Portfolio vRS kemudiannya berkembang dengan Fabia vRS pada tahun 2003 dan Kodiaq vRS, model prestasi pertama Škoda dalam segmen SUV pada tahun 2018.

Škoda dengan pecutan terpantas

Pada tahun 2022, Škoda melangkah ke era elektrik berprestasi dengan melancarkan Enyaq Coupé vRS, diikuti oleh Enyaq vRS.

Kedua-dua model ini pada mulanya menghasilkan 220 kW (299 hp) dengan pacuan semua roda dwi-motor, sebelum ditingkatkan kepada 250 kW (340 hp) pada tahun 2023, menjadikannya kereta pengeluaran paling berkuasa dalam sejarah Škoda.

Sambutan yang diterima untuk EV berprestasi menggalakkan dan menjelang tahun 2025, keluarga Enyaq vRS telah mencatatkan lebih 21,000 unit terjual dan meraih pelbagai anugerah.

Pengguna di Eropah kini dihidangkan Enyaq vRS dan Enyaq Coupé vRS terbaru yang turut tampil sebagai model pengeluaran Škoda dengan pecutan terpantas dan sebaris Elroq vRS baharu.

Enyaq vRS dan Enyaq Coupé vRS baharu masing-masing dilengkapi dua motor elektrik yang menghasilkan output sistem sebanyak 340 PS dengan pacuan semua roda.

Gabungan ini membolehkan kedua-dua model memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 5.4 saat, dengan kelajuan tertinggi mencapai 180 km/j.

Kedua-dua varian vRS ini juga mempunyai kadar pengecasan sehingga 185 kW. Pengecasan bateri voltan tinggi berkapasiti 84 kilowatt-jam (kWj) (79 kWj bersih) dari 10 hingga 80 peratus hanya mengambil masa 26 minit di stesen pengecasan pantas DC.

Pengecasan AC pula boleh dilakukan pada kadar 11 kW, yang mengambil masa kira-kira 8.5 jam untuk mengecas bateri dari 0 hingga 100 peratus.

Jarak pemanduan elektrik yang mampu dicapai adalah lebih 547 km untuk kedua-dua Enyaq vRS dan Enyaq Coupé vRS berdasarkan kitaran WLTP.

Casis Sport yang Ditala Khusus

Enyaq vRS baharu dan Enyaq Coupé vRS baharu dilengkapi dengan casis sport yang ditala khusus dan direndahkan.

Gandar depan direndahkan sebanyak 15 milimeter (mm), manakala gandar belakang direndahkan sebanyak 10 mm.

Pengurangan ketinggian ini menghasilkan pengendalian yang lebih tangkas. Tayar sport juga merupakan kelengkapan standard.

Casis adaptif DCC dengan tetapan penyerap hentakan yang lebih dinamik dan 15 pilihan kekakuan ditawarkan sebagai pilihan.

Pemilih Mod Pemanduan menyediakan mod cengkaman khas yang disesuaikan untuk pacuan semua roda.

Dinamik pemanduan model ini turut dipertingkatkan oleh sistem stereng progresif, yang memastikan kawalan kenderaan yang sempurna.

Varian vRS dilengkapi dengan brek yang lebih berkuasa di gandar depan dengan angkup dua omboh.

Reka Bentuk Sporti dan Bahasa Reka Bentuk Modern Solid

Dari segi gaya luaran, Enyaq vRS baharu dan Enyaq Coupé vRS baharu menampilkan perincian berwarna hitam. 

Bahasa reka bentuk Modern Solid baharu Škoda menampilkan Muka Tech-Deck bercahaya hitam kilatan tinggi yang menempatkan sensor penting termasuk radar, serta gril lampu menegak yang menarik perhatian sebagai ciri paling ketara.

Lampu depan LED Matrix empat mata, ciri khas SUV Škoda, disertakan sebagai standard dan menawarkan animasi Coming/Leaving home bersama Muka Tech-Deck bercahaya.

Reka bentuk luaran diperkemas dengan ciri visual vRS dan aksesori hitam seperti bingkai tingkap sisi, rel bumbung, tulisan bonet dan pintu belakang, serta penutup cermin sisi.

Bampar depan dan belakang menampilkan jalur pemantul lebar penuh khas vRS, dan lencana vRS menghiasi dapra depan.

Tingkap belakang dan sisi belakang yang berwarna gelap memberikan penampilan anggun, privasi dan keselesaan manakala kaca berlapis akustik di depan mengurangkan kebisingan.

Roda aloi yang digunakan pada vRS mempunyai elemen rekaan aero yang unik. Roda standard ialah Draconis 20 inci berwarna hitam metalik (dengan sisipan hitam kusam baharu), dan pilihan lain ialah roda Vision 21 inci berwarna antrasit.

Hyper Green ialah warna eksklusif untuk Enyaq vRS, di samping pilihan warna keluarga Enyaq yang sedia ada.

Ciri-ciri Aerodinamik yang dipertingkatkan menyumbang kepada pekali seretan (cD) Enyaq vRS yang bermula dari 0.251, dan serendah 0.239 untuk Enyaq Coupé vRS

Aerodinamik dipertingkatkan, dengan pekali seretan Enyaq vRS bermula dari 0.251 dan Enyaq Coupé vRS serendah 0.239.

Dua Pilihan Reka Bentuk Dalaman yang Sporti

Untuk bahagian dalaman yang sporty dan praktikal, dua Pilihan Reka Bentuk dalaman khusus ditawarkan: vRS Suite dan vRS Lounge.

Pilihan vRS Suite standard menampilkan balutan gabungan kulit dan kulit tiruan dengan jahitan kelabu, serta hiasan berpenampilan karbon pada panel pintu depan dan papan pemuka.

Pilihan vRS Lounge pula menawarkan balutan kerusi hitam yang dengan gabungan mikrosuede dan kulit tiruan bersama jahitan kontras hijau limau.

Roda stereng sport tiga jejari dengan fungsi pemanas dibalut kulit berliang dan dilengkapi lencana vRS serta jahitan hitam untuk vRS Suite dan jahitan hijau limau untuk vRS Lounge.

Penghawa dingin Climatronic tiga zon disertakan sebagai standard untuk keselesaan suhu yang optimum.

Seperti model Enyaq yang lain, pam haba tersedia sebagai ciri pilihan untuk kecekapan pemanasan dan penyejukan yang lebih baik.

Kerusi sport depan dengan fungsi pemanas dilengkapi sandaran kepala bersepadu, menambah sentuhan sporti pada kabin.

Kerusi depan boleh dilaras secara elektrik dan menawarkan fungsi urutan, memori, serta sokongan lumbar untuk keselesaan yang optimum.

Pedal keluli tahan karat turut menyerlahkan suasana dinamik di bahagian dalam.

Pelindung matahari mekanikal untuk tingkap sisi belakang juga merupakan kelengkapan standard.

Teknologi Maklumat Hibur dan Audio Premium

Enyaq vRS baharu dan Enyaq Coupé vRS baharu dilengkapi Kokpit Digital 5 inci sebagai standard. Paparan maklumat hibur 13 inci juga disertakan.

Kedua-dua model dilengkapi papar pandu dengan realiti terimbuh. Kamera pandangan kawasan turut disertakan untuk membantu pemanduan dan parkir.

Sistem bunyi CANTON dengan 12 pembesar suara dan output keseluruhan 635 W melengkapi pengalaman audio dalam kenderaan. Semua paparan dalam kenderaan ini menampilkan grafik khusus vRS.

Butang Pemanas yang terdapat pada skrin maklumat hibur membolehkan pengaktifan atau penyahaktifan sehingga empat fungsi pemanasan sekaligus dengan mudah.

Dua pilihan bunyi luaran turut ditawarkan, iaitu bunyi Sport dan Futuristik. Bunyi ini boleh dipilih mengikut profil pemanduan atau melalui Mod Individu dalam menu maklumat hibur.

Ciri Simply Clever yang Praktikal

Kedua-dua model ini juga dilengkapi pelbagai ciri Simply Clever tipikal Škoda sebagai ciri standard. Ini termasuk empat port USB-C pengecasan pantas dengan output sehingga 45 W.

Pengecasan tanpa wayar telefon bimbit dan ventilasi sehingga 15 W turut disertakan.

But elektrik standard dengan Pedal Maya memudahkan akses ke ruang bagasi. Kod QR di ruang bagasi menyediakan akses mudah kepada arahan pengendalian dan video fungsi but melalui telefon pintar atau tablet.

Kemasukan tanpa kunci dengan ciri Buka-Apabila-Mendekat juga standard. Penguncian Berjalan-Jauh automatik turut disertakan.

Sistem navigasi menyediakan amaran dalam talian masa nyata. Amaran diberikan mengenai kemalangan, kerosakan, dan keadaan jalan licin di kawasan sekitar.

Model ini dilengkapi dengan persediaan bar tunda standard. Bar tunda pelepasan elektrik ditawarkan sebagai pilihan dan kapasiti tunda maksimum ialah 1,400 kg (pada kecerunan 8%)

Sistem Keselamatan dan Bantuan Pintar

Škoda Enyaq vRS dan Škoda Enyaq Coupé vRS menawarkan pelbagai sistem pintar.

Sistem Bantuan Perjalanan standard kini merangkumi Bantuan Kekal Lorong Boleh Suai, Kawalan Pemanduan Boleh Suai Prediktif, Bantuan Kesesakan Lalu Lintas, Bantuan Kecemasan dan Bantuan Sisi dengan peningkatan prestasi melalui data kawanan dalam talian (data daripada kenderaan lain).

Aplikasi MyŠkoda yang dinaik taraf menyediakan Bantuan Parkir Pintar, termasuk fungsi Bantuan Parkir Jauh (kawalan telefon pintar) dan Parkir Terlatih Jauh (membolehkan kenderaan memarkir sendiri secara berulang di lokasi yang telah dipelajari dan disimpan oleh pemandu sebelumnya).

Tempahan dan Harga

Tempahan untuk Enyaq vRS baharu akan dibuka pada 12 Jun. Enyaq vRS ditawarkan pada harga £51,660 (RM293,149) dan £53,560 (RM303,948) untuk Enyaq Coupé vRS.  

Škoda Enyaq vRS 2025:

Škoda Enyaq Coupé vRS 2025:

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here