Utama Berita Automotif Prestasi jualan terus merosot, Skoda berundur terus dari pasaran China

Prestasi jualan terus merosot, Skoda berundur terus dari pasaran China

5

Sejak pandemik COVID-19, pasaran automotif China berubah dengan begitu drastik. 

Kemunculan pelbagai jenama tempatan baharu serta penawaran model EV dan hibrid sedikit sebanyak menarik minat pembeli di sana daripada terus memilih jenama sedia ada. 

Perubahan selera pengguna ini memaksa Skoda untuk menarik diri sepenuhnya daripada pasaran China menjelang pertengahan tahun ini. 

Suatu ketika dahulu, China merupakan pasaran terbesar Skoda, di mana satu daripada empat kenderaan jenama itu dijual di sana. 

Sebelum pandemik, angka jualan mencecah 325,000 unit pada tahun 2017, dan meningkat kepada 341,000 unit pada tahun 2018. 

Pengeluar itu juga merancang untuk menggandakan penghantaran kepada 600,000 unit setahun menjelang 2020. 

Sayang sekali, jualan Skoda menjunam daripada 282,000 unit pada 2019 kepada hanya 173,000 unit pada tahun 2020. 

Angka tersebut terus merosot kepada 71,200 unit pada 2021, kemudian menjunam kepada 44,600 unit pada 2022, dan sekitar 22,800 unit pada 2023. 

Tahun 2024, hanya 17,500 unit kenderaan Skoda telah terjual dan sepanjang tempoh 2025, Skoda sekadar menjual 15,000 unit kenderaan. 

Kumpulan VW mengesahkan jenama itu akan terus meninggalkan pasaran China sepenuhnya walaupun Skoda baru sahaja melancarkan SUV elektrik Elroq dan sedang membangunkan model EV baharu (Epiq dan Peaq).

Pengunduran dari pasaran China ini membolehkan Skoda memberikan tumpuan penuh kepada pasaran yang lebih kukuh seperti India dan Asia Tenggara. 

Tahun lalu, Skoda menjual 70,600 unit kenderaan di India, atau peningkatan sebanyak 96.1 peratus berbanding 36,000 unit pada tahun 2024. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here