
Kerajaan MADANI terpaksa mengambil langkah drastik dan proaktif bagi memastikan bekalan bahan api negara kekal terjamin susulan ketidaktentuan global akibat konflik berlarutan di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan bersasar itu selepas harga minyak mentah dunia kini melambung melebihi USD100 setong, sekali gus meletakkan beban subsidi negara pada tahap membimbangkan.
Menurut beliau, peningkatan harga minyak mentah Brent tersebut telah menyebabkan beban subsidi bagi petrol dan diesel melonjak naik daripada RM3 bilion kepada anggaran RM4 bilion sebulan.
Bagi menguruskan tekanan bekalan semasa tanpa menjejaskan majoriti pengguna, kerajaan memutuskan untuk melaraskan had siling kelayakan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
“Had siling kelayakan BUDI95 akan dilaraskan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula April 2026. Ini adalah langkah sementara sehingga pasaran global kembali stabil,” katanya.
90 peratus rakyat tidak terjejas

Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu panik kerana data menunjukkan hampir 90 peratus rakyat yang layak sebenarnya menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.
“Rata-rata penggunaan rakyat Malaysia adalah sekitar 100 liter sahaja sebulan, jadi pelarasan ini tidak akan menjejaskan rutin harian majoriti pengguna BUDI95,” jelas beliau lagi.
Bagi menyokong sektor pengangkutan awam moden, had siling tambahan untuk operator e-hailing tetap dikekalkan pada 800 liter sebulan.
Harga kekal RM1.99 seliter
Di sebalik cabaran global, Kerajaan MADANI tetap komited mempertahankan kebajikan rakyat dengan mengekalkan harga:
-
Petrol BUDI95: RM1.99 seliter
-
Diesel: RM2.15 seliter (Kumpulan sasar)
Kementerian Kewangan (MoF) turut memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba mencuri atau menyeleweng bahan api bersubsidi berkenaan.
Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menyekat kelayakan BUDI95 serta-merta sekiranya dikesan terdapat penyalahgunaan atau ketirisan dalam penggunaan RON95 bersubsidi.































