Utama Berita Automotif Honda Fit (2026) lancar di Jepun, Fit Z baharu

Honda Fit (2026) lancar di Jepun, Fit Z baharu

25

Honda memperkenalkan Fit versi dipertingkat (facelift) untuk pasaran Jepun dengan pelbagai penambahbaikan dari segi reka bentuk, kelengkapan dan varian, sempena ulang tahun ke-25 model hatchback popular itu.

Model yang mula dijual pada 10 Julai 2026 ini menerima rombakan barisan varian, selain memperkenalkan Fit Z sebagai varian standard baharu yang menampilkan rekaan lebih sporti dan tahap keselesaan lebih tinggi.

Untuk makluman, Fit dikenali sebagai Jazz di Malaysia serta banyak pasaran antarabangsa. Bagaimanapun, generasi keempat tidak lagi ditawarkan secara rasmi di pasaran tempatan.

Di sebalik penamatan tersebut, Honda Malaysia memperkukuhkan barisan model kompaknya menerusi pengenalan City Hatchback dan WR-V.

Sejak diperkenalkan pada 2001, siri Fit telah mencatatkan jualan terkumpul melebihi 3.25 juta unit di Jepun, sekali gus menjadikannya antara model paling berjaya dalam sejarah Honda.

Generasi keempat yang diperkenalkan pada 2020 pula terus mendapat sambutan menerusi gabungan ruang kabin luas, konfigurasi tempat duduk fleksibel, kecekapan bahan api dan pengalaman pemanduan yang selesa.

Empat varian Fit

Bagi kemas kini kali ini, Honda menyusun semula barisan model kepada empat varian utama dengan identiti yang lebih jelas.

  • X – Varian asas yang menggantikan Basic.
  • Z – Varian standard yang menggantikan Home, menawarkan reka bentuk lebih sporti serta kelengkapan lebih lengkap.
  • RS – Varian hibrid yang memfokuskan prestasi dan pengalaman pemanduan.
  • Crosstar – Varian bercirikan crossover untuk gaya hidup aktif.

Harga di Jepun pula bermula daripada ¥1,806,200 (RM45,390) bagi Fit X sehingga ¥2,955,700 (RM74,290) untuk Fit e:HEV Crosstar 4WD.

Fit Z tampil lebih sporti

Antara perubahan terbesar ialah pengenalan Fit Z, yang kini menggunakan reka bentuk luaran hampir sama seperti varian RS.

Bahagian hadapan menerima gril dan bampar rekaan RS, manakala bampar belakang turut menggunakan reka bentuk sama.

Honda juga memasang antena sirip yu sewarna badan dan penutup rim dengan kemasan Shark Gray.

Di dalam kabin, Fit Z menerima stereng tiga jejari dibalut kulit, kemasan hitam pada beberapa komponen dalaman dan fungsi pemanas kerusi pemandu serta penumpang hadapan.

Turut dilengkapi cermin hadapan dan cermin pintu hadapan dengan perlindungan UV serta IR sebagai kelengkapan standard.

Honda turut menukar lapisan jernih (clear coat) pada cat badan bagi menghasilkan kemasan yang lebih berkilat.

RS lebih premium dan lengkap

Varian Fit e:HEV RS pula menerima beberapa sentuhan eksklusif bagi meningkatkan imej sporty dan premium.

Bahagian luar menampilkan gril hadapan dan kemasan panel nombor pendaftaran belakang berwarna Piano Black, bersama rim aloi 16 inci dengan kemasan hitam serta kemasan mesin (machined finish).

Di dalam kabin, Honda memasang kemasan hitam pada tiang hadapan dan bumbung, pad lembut hitam pada papan pemuka dan panel pintu, selain tempat duduk gabungan suede dengan jahitan merah.

Turut dijadikan kelengkapan standard ialah paparan Honda CONNECT bersama peranti ETC 2.0, pengecas telefon tanpa wayar, pemanas stereng dan fungsi pemanas tempat duduk hadapan.

Lagi ciri standard merangkumi pedal sport keluli tahan karat serta cermin hadapan dan cermin pintu hadapan dengan perlindungan UV serta IR.

Crosstar turut dipertingkat

Varian Crosstar turut menerima beberapa ciri baharu termasuk fungsi pemanas stereng, pemanas kerusi hadapan dan cermin hadapan serta cermin pintu hadapan dengan perlindungan UV serta IR sebagai kelengkapan standard.

Rangkaian kuasa

Honda menawarkan Fit dengan dua pilihan rangkaian kuasa, iaitu enjin petrol 1.5 liter serta sistem hibrid e:HEV.

Bagi varian e:HEV X, e:HEV Z, e:HEV RS dan e:HEV Crosstar, ia menggunakan enjin 1.5 liter (1,496cc) DOHC i-VTEC.

Enjin tersebut menghasilkan 78kW (106PS) pada 6,000 hingga 6,400rpm dan 127Nm pada 4,500 hingga 5,000rpm.

Motor elektrik segerak AC menjana 90kW (123PS) serta 253Nm yang tersedia dari 0 hingga 3,000rpm.

Sistem hibrid itu menggunakan bateri litium-ion 48 sel bersama transmisi e-CVT.

Bagi varian X dan Z pula, Honda mengekalkan enjin petrol 1.5 liter (1,496cc) DOHC i-VTEC yang menghasilkan 118PS pada 6,600rpm dan 142Nm pada 4,300rpm.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi CVT bersama torque converter.

 

Berdasarkan kitaran ujian WLTC, penggunaan bahan api bagi varian hibrid adalah sekitar 23.3 hingga 29.1km/l.

Fit petrol merekodkan sekitar 16.0 hingga 18.3km/l, bergantung kepada varian dan sistem pacuan.

Fit versi kerusi penumpang hadapan boleh pusing

Honda turut menawarkan varian e:HEV Z dan Z dalam versi khas yang dilengkapi kerusi penumpang hadapan boleh pusing (Passenger Seat Swivel Seat Vehicle).

Kerusi ini memudahkan penumpang warga emas atau mereka yang mempunyai masalah pergerakan untuk keluar masuk kenderaan.

Selain itu, Honda turut menawarkan sistem bantuan pemanduan Honda Techmatic System dan Honda Franz System untuk pemandu kurang upaya.

Sistem itu disediakan untuk Fit Z dan Crosstar, dengan Franz System dijadualkan mula dipasarkan di Jepun pada musim luruh tahun ini.

Ringkasan spesifikasi Honda Fit 2026

  • Enjin petrol 1.5 liter (1,496cc) DOHC i-VTEC, 4 silinder sebaris
  • Kuasa petrol: 118PS
  • Tork petrol: 142Nm
  • Transmisi petrol: CVT dengan torque converter
  • Enjin hibrid: 1.5 liter (1,496cc) DOHC i-VTEC
  • Kuasa enjin hibrid: 106PS
  • Tork enjin hibrid: 127Nm
  • Motor elektrik: 90kW (123PS), 253Nm
  • Bateri: Litium-ion (48 sel)
  • Transmisi hibrid: e-CVT
  • Sistem pacuan: FF atau 4WD
  • Penggunaan bahan api WLTC:
    • e:HEV: 23.3 hingga 29.1km/l
    • Petrol: 16.0 hingga 18.3km/l
  • Harga di Jepun: ¥1,806,200 hingga ¥2,955,700 (RM45,390 hingga RM74,290)

Honda Fit e:HEV Z 2026

Honda Fit e:HEV RS 2026

Honda Fit e:HEV CROSSTAR 2026

Honda Fit e:HEV X 2026

Honda Fit 2026

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here