Utama Berita Automotif PM : Harga minyak lebih rendah berbanding Qatar, Arab Saudi

PM : Harga minyak lebih rendah berbanding Qatar, Arab Saudi

9

Harga runcit minyak di Malaysia lebih rendah berbanding negara pengeluar utama bahan api seperti Qatar dan Arab Saudi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata harga petrol RON95 bersubsidi di bawah inisiatif BUDI MADANI kekal pada RM1.99 seliter, berbanding harga di Arab Saudi yang kini melebihi RM2.40 seliter, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan mengekalkan harga bahan api pada kadar mampu milik.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata dakwaan bahawa harga minyak di Malaysia tidak lagi kompetitif berbanding negara pengeluar minyak lain adalah tidak tepat kerana harga semasa di negara ini masih lebih rendah.

“Harga minyak di Malaysia ini lebih rendah daripada Qatar dan Arab Saudi, itu fakta yang harus diingat. Semasa kita minta harga minyak turun RM1.50 dulu, ketika itu harga di Arab Saudi kira-kira 50 sen.

“Sekarang, harga RON95 di Malaysia RM1.99 seliter, manakala di Arab Saudi melebihi RM2.40 seliter. Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga mencatat harga yang tinggi, malah UAE menaikkan harga minyak dua bulan lepas walaupun negara itu merupakan pengeluar minyak utama,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang mempersoalkan perbezaan harga minyak ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak serta janji Anwar ketika menjadi pembangkang untuk menurunkan harga bahan api.

Mengulas lanjut, Anwar berkata perubahan harga minyak perlu dilihat dalam konteks keadaan ekonomi semasa serta mengambil kira keseluruhan bentuk bantuan yang disalurkan kerajaan kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi petrol RON95 dan program BUDI Diesel.

“Keseluruhannya, bantuan itu jauh lebih tinggi daripada sebelumnya, tetapi saya tidak mahu bandingkan, kadang-kadang itu mungkin berbeza dan pendapatan negara pun jauh lebih berkurangan dari sekarang,” kata beliau.

Perdana Menteri turut mengalu-alukan sebarang cadangan konstruktif bagi menambah baik dasar berkaitan harga bahan api, sambil menegaskan bahawa kerajaan sentiasa mendengar pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang penyesuaian dasar demi memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Terdahulu, Rosol dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menjelaskan penilaian kerajaan terhadap kesan krisis berpanjangan di Selat Hormuz serta langkah yang diambil untuk mengurangkan impaknya.

Anwar berkata kerajaan memberikan tumpuan untuk memastikan bekalan bahan api mencukupi, mengekalkan kestabilan harga barangan, menyediakan bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain memperkukuh daya tahan ekonomi.

Anwar berkata ketegangan geopolitik di Asia Barat serta gangguan terhadap laluan perdagangan utama seperti Selat Hormuz terus memberikan tekanan kepada ekonomi global dan negara.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here