Utama Berita Automotif Toyota Yaris Cross GR Sport 2026 diperkenal di Jepun, bukan seperti Yaris...

Toyota Yaris Cross GR Sport 2026 diperkenal di Jepun, bukan seperti Yaris Cross Malaysia

8

Toyota memperkenalkan versi kemas kini Toyota Yaris Cross GR Sport pasaran Jepun yang mula dijual pada 3 Ogos 2026. Kemas kini 2026 memberi tumpuan kepada penambahan kelengkapan standard serta beberapa perubahan kecil pada penampilan luaran.

Antara pembaharuan ialah pemasangan skrin maklumat hibur HD bersaiz 10.5 inci sebagai kelengkapan standard. Sebelum ini, ciri tersebut hanya ditawarkan pada varian tertentu atau sebagai pilihan.

Selain itu, Toyota turut menjadikan tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas serta stereng yang dipanaskan sebagai kelengkapan standard bagi meningkatkan keselesaan pemanduan terutama ketika musim sejuk.

Turut disertakan ialah sistem penulen udara nanoe X yang dibangunkan oleh Panasonic bagi membantu meningkatkan kualiti udara di dalam kabin.

Dari segi luaran, Toyota turut melakukan sedikit perubahan dengan penggunaan kemasan hitam pada cermin sisi dan antena jenis sirip jerung bagi memberikan penampilan yang lebih sporty.

Kekal dengan identiti GR Sport

Walaupun menerima beberapa penambahbaikan, Yaris Cross GR Sport masih mengekalkan identiti prestasi yang diperkenalkan sejak varian itu dilancarkan pada Ogos 2022.

Bahagian hadapan dilengkapi gril atas dan bawah eksklusif GR Sport bersama kemasan khas pada perumah lampu kabus.

Di belakang pula, model ini menggunakan penutup bampar bawah khas, selain emblem GR Sport pada bahagian depan dan belakang.

Penampilan lebih agresif turut diserlahkan menerusi rim aloi 18 inci dengan tayar bersaiz 215/50R18, manakala angkup brek dicat merah dengan logo GR pada angkup hadapan.

Ruang kabin menerima stereng tiga jejari berbalut kulit dengan logo GR yang direka khusus untuk varian ini.

Kerusi sport khas menggunakan gabungan bahan Air Nubuck dan kulit sintetik, selain dipadankan dengan tombol gear berbalut kulit serta kemasan konsol tengah berwarna gunmetal.

Bagi melengkapkan ciri sporti, Toyota turut memasang pedal aluminium sebagai kelengkapan standard.

Dari aspek pengendalian, Yaris Cross GR Sport menerima komponen casis yang dipertingkatkan kekukuhannya bagi meningkatkan kestabilan ketika dipandu.

Model ini turut dilengkapi talaan suspensi khas dan sistem stereng kuasa elektrik yang ditala semula.

Bagi varian hibrid (HEV), Toyota turut melengkapkannya dengan sistem kawalan trenkuasa dan aci pemacu khas sebagai ciri standard.

Enjin petrol dan hibrid

Yaris Cross GR Sport ditawarkan dengan dua pilihan trenkuasa.

Varian petrol menggunakan enjin tiga silinder 1.5 liter M15A-FKS yang menghasilkan 120 PS dan 145 Nm tork.

Enjin ini dipadankan dengan transmisi Direct Shift-CVT serta pacuan roda hadapan.

Sementara itu, varian hibrid menggunakan enjin 1.5 liter M15A-FXE yang menghasilkan 91 PS dan 120 Nm, digandingkan dengan motor elektrik hadapan berkuasa 80 PS serta 141 Nm.

Kuasa disalurkan menerusi transmisi e-CVT, manakala bateri litium-ion berkapasiti 4.3 Ah digunakan bagi sistem hibrid tersebut.

Penggunaan bahan api

Dari aspek kecekapan bahan api, varian hibrid GR Sport merekodkan penggunaan 26.8 km/L mengikut piawaian WLTC.

Bagi versi petrol pula, penggunaan bahan api dicatatkan pada 17.6 km/L.

Sebagai perbandingan, varian bukan GR Sport seperti G dan X mampu mencapai sehingga 30.8 km/L bagi model hibrid, manakala varian Adventure menawarkan penggunaan sehingga 27.8 km/L bergantung kepada konfigurasi trenkuasa.

Versi GR Sport menggunakan lebih banyak petrol susulan talaan dan ciri-ciri yang lebih sporti.

Harga Yaris Cross GR Sport 2026 di Jepun

Toyota menawarkan Yaris Cross GR Sport pada harga berikut:

  • GR Sport Petrol 2WD: 2,789,600 yen (RM72,876)
  • GR Sport Hybrid 2WD: 3,169,100 yen (RM82,768)

Harga Yaris Cross varian lain bermula daripada 2,126,300 yen (RM55,529) bagi varian X sehingga 3,355,000 yen (RM87,623) untuk varian Z Adventure Hybrid E-Four.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here