Utama Berita Automotif Toyota Aqua GR SPORT 2026 tampil garang di Jepun!

Toyota Aqua GR SPORT 2026 tampil garang di Jepun!

8

Toyota memperkenalkan Aqua 2026 di Jepun dengan tumpuan kepada penambahbaikan kelengkapan, talaan pemanduan serta pengenalan varian baharu GR SPORT.

Model hatchback hibrid ini mula dijual pada 6 Julai 2026 dan kekal sebagai salah satu model penting Toyota dalam segmen kompak hibrid di pasaran domestik.

Untuk makluman, Aqua generasi pertama dikenali sebagai Prius C di pasaran tempatan.

Aqua 2026 tidak melibatkan perubahan besar pada asas mekanikal, sebaliknya lebih tertumpu kepada peningkatan pengalaman pemanduan, penambahan ciri standard serta tampil sporti melalui GR SPORT.

GR SPORT: Aqua paling sporti

Varian GR SPORT menjadi tarikan utama kemas kini ini dengan pendekatan lebih agresif dari segi rekaan dan talaan casis.

Ia membawa identiti Gazoo Racing yang lebih ketara pada model Aqua, bukan sekadar kosmetik tetapi turut melibatkan aspek struktur dan dinamik pemanduan.

Dari segi luaran, GR SPORT hadir dengan emblem GR di bahagian hadapan dan belakang, bampar hadapan eksklusif dengan gril bawah dan spoiler sisi, lampu kabus LED, serta kemasan alang sisi berwarna hitam.

Bahagian belakang turut menerima hiasan khas pada bampar.

Model ini dilengkapi rim aloi 17 inci 17x7J dengan kemasan gelap, nat roda hitam, penutup tengah GR dan dipadankan bersama tayar 205/45R17.

Bahagian roda depan dihiasi angkup brek merah dengan logo GR.

Di bahagian dalam, pendekatannya lebih berfokus kepada pemandu dengan kerusi sport eksklusif berlogo GR menggunakan gabungan material AIRNUBUCK® dan kulit sintetik.

Kemasan gunmetal digunakan pada panel instrumen dan hiasan pintu, disertakan stereng kulit tiga jejari dengan logo GR, pedal aluminium serta kunci pintar khas GR.

Talaan casis dan stereng lebih responsif

Selain perubahan visual, GR SPORT menerima peningkatan teknikal bagi meningkatkan karakter pemanduan.

Struktur bawah badan diperkukuh melalui penggunaan pendakap khas, disertakan pengukuhan pada bahagian bampar belakang untuk meningkatkan ketegaran casis.

Suspensi juga ditala semula bagi memberikan kawalan lebih stabil dan responsif.

Sistem Electric Power Steering (EPS) pula menerima pemetaan baharu yang memberikan respons lebih tajam terutama dalam mod POWER+.

Kelengkapan asas dipertingkat

Toyota turut menaik taraf kelengkapan untuk semua varian Aqua. Antara peningkatan utama termasuk paparan maklumat hibur 10.5 inci serta sistem Panoramic View Monitor dengan fungsi paparan bawah kenderaan.

Selain itu, pakej Comfort Package turut ditawarkan dengan ciri seperti stereng dan kerusi hadapan dengan pemanas, poket belakang penumpang serta pelindung matahari dengan cermin berpenutup.

Varian X dan U turut menerima penambahbaikan pada tempat duduk fabrik premium dengan rekaan penyandar kepada berasingan serta perehat tangan tengah belakang dengan dua pemegang cawan.

Semua varian E-Four pula kini dilengkapi spesifikasi cuaca sejuk sebagai standard.

Rangkaian kuasa hibrid 1.5 liter

Aqua 2026 masih mengekalkan enjin 1.5 liter M15A-FXE yang menghasilkan 91 PS, dipadankan dengan motor elektrik hadapan berkuasa 59 kW.

Tork enjin menghasilkan 120 Nm, manakala motor elektrik memiliki output 141 Nm.

Varian standard ditawarkan dalam konfigurasi 2WD atau E-Four, namun GR SPORT hanya hadir dengan 2WD sahaja.

Sistem hibrid ini masih mengekalkan fokus utama terhadap kecekapan bahan api walaupun menerima talaan yang lebih sporty.

Dari segi penggunaan bahan api, GR SPORT mencatat 30.7 km/l, sedikit lebih tinggi berbanding varian standard yang mampu mencapai sehingga 34.3 km/l (WLTC gabungan).

Dimensi dan perubahan casis

Secara fizikal, Aqua GR SPORT menerima sedikit perubahan pada dimensi susulan penggunaan bampar baharu. Panjang keseluruhan meningkat kepada 4,100 mm berbanding 4,080 mm pada varian standard.

Jejak roda turut berbeza dengan GR SPORT mencatat 1,470 mm di depan dan 1,465 mm di belakang, manakala varian standard 2WD mencatat 1,480 mm bagi kedua-dua bahagian.

Dari segi berat, GR SPORT berada pada 1,160 kg, sedikit lebih berat berbanding varian standard yang bermula sekitar 1,120 kg hingga 1,150 kg bergantung kepada spesifikasi.

Harga di Jepun

Toyota Aqua 2026 ditawarkan pada harga berikut di Jepun:

  • X 2WD – 2,497,000 yen (RM62,800)
  • G 2WD – 2,687,300 yen (RM67,600)
  • Z 2WD – 2,857,800 yen (RM71,900)
  • GR SPORT 2WD – 3,238,400 yen (RM81,400)

Toyota Aqua GR SPORT Jepun

Toyota Aqua Jepun

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here