
Baru saja dilancarkan minggu lalu, BYD Seal 08 menerima tempahan sekitar 65,000 unit selepas 30 jam rasmi berada di pasaran China.
Maklumat pasaran yang dikumpul oleh penyelidik BYD daripada platform Xueqiu, Andy Ding menunjukkan jumlah itu merangkumi 40,000 tempahan awal yang didaftarkan sejak 12 Jun, serta lebih 25,000 tempahan baharu yang diterima selepas pengumuman harga rasmi.
Pilihan pelanggan sebahagian besarnya tertumpu kepada konfigurasi elektrik penuh (EV) dengan pacuan semua roda (AWD) yang menawarkan jarak pemanduan sejauh 905 km (CLTC).
Rangkaian kuasa berprestasi tinggi ini menggunakan motor berkembar untuk menghasilkan kuasa gabungan sebanyak 510kW.
Justeru itu, pelanggan yang memilih varian berkenaan perlu menunggu tempoh penghantaran lebih lama ekoran kekangan bekalan pada komponen-komponen khusus.
Konfigurasi plug in hibrid (PHEV) pula mewakili baki bahagian daripada keseluruhan jumlah tempahan awal tersebut.
Varian itu menawarkan keupayaan pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 400 km di samping jarak tempuh gabungan EV dan enjin mencapai 1,660 km.
Pasaran China menawarkan enam pilihan varian Seal 08 pada harga bermula daripada CNY196,900 (RM117,897) sehingga CNY239,900 (RM143,644).
BYD menyatakan Seal 08 menawarkan ruang kaki yang optimum di barisan tempat duduk belakang menerusi panjang 5,150 mm dan lebar 1,999 mm. Ketinggiannya pula adalah 1,505 mm, manakala jarak roda mencecah 3,030 mm.




































