Utama Berita Automotif BYD Seal 08 lancar pada harga mula RM117k

BYD Seal 08 lancar pada harga mula RM117k

9

BYD melancarkan model perdana, Seal 08 di bawah siri Ocean Network menerusi pilihan rangkaian kuasa bateri elektrik penuh (BEV) dan plug in hibrid (PHEV).

Berikut enam pilihan varian yang ditawarkan di pasaran China :

  • Premium (PHEV) : CNY196,900 (RM117,897) 
  • Flagship (PHEV) : CNY206,900 (RM123,885)
  • 4WD Flagship (PHEV) : CNY229,900 (RM137,656)
  • Premium (EV) : CNY196,900 (RM117,897)
  • Flagship (EV) : CNY216,900 (RM129,873)
  • 4WD Flagship (EV) : CNY239,900 (RM143,644)

BYD Seal 08 didatangkan dengan ciri standard sistem stereng roda belakang dan sistem suspensi udara automatik DiSus-A.

Pihak syarikat mendakwa casis berkenaan mampu mengendalikan keperluan selekoh tajam dengan baik di samping mengimbangi keselesaan pemanduan di atas pelbagai jenis permukaan jalan.

Bahkan, tawaran sistem stereng roda belakang juga membolehkan sedan ini mencapai radius pusingan 4.95 meter.

BYD menyatakan Seal 08 menawarkan ruang kaki yang optimum di barisan tempat duduk belakang menerusi panjang 5,150 mm dan lebar 1,999 mm. Ketinggiannya pula adalah 1,505 mm, manakala jarak roda mencecah 3,030 mm.

Bateri dan Kuasa

Model elektrik sepenuhnya dibina berasaskan platform voltan tinggi 800V yang menyokong teknologi pengecasan flash BYD.

Varian BEV menggunakan bateri BYD Blade generasi kedua untuk menghasilkan hantaran kuasa maksimum sehingga 510kW. Varian EV tertinggi mampu mencapai jarak pemanduan sejauh 905 km (CLTC) bersama keupayaan memecut dari 0-100kmj dalam masa hanya 3.3 saat.

Bagi konfigurasi PHEV pula menggabungkan enjin pembakaran dalaman 1.5T bersama motor elektrik berkembar berkuasa 400kW.

Rangkaian kuasa hibrid ini dipadankan dengan pek bateri berkapasiti 45.36kWh, sekali gus memberikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 400 km.

Had keseluruhan jarak pemanduan gabungan (EV + enjin) pula mampu mencecah sehingga 1,660 km (CLTC) di bawah keadaan ujian standard.

Kabin 

Masuk ke kabin, konfigurasi ruang dalaman menampilkan dwi-tempat duduk hadapan jenis sifar graviti yang lengkap dengan fungsi pengudaraan dan urutan untuk kesemua penumpang.

Pemandu disediakan dengan skrin sentuh 15.6-inci, panel instrumen 12.3-inci, serta paparan realiti terimbuh  bersaiz 26-inci. Sistem bantuan navigasi automatik turut menggunakan sensor LiDAR bagi menyokong fungsi parkir automatik.

Unit BYD Seal 08 dilaporkan telah mula tiba di pusat-pusat pengedar China pada bulan lalu sebelum jualan rasmi dibuka.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here