
Tiga mekanik Honda membuktikan keupayaan luar biasa apabila dinobatkan sebagai mekanik terbaik Malaysia dalam Pertandingan Kemahiran Mekanik Boon Siew Honda 2026 yang melabuhkan tirainya di Pulau Pinang, semalam.
Ketiga-tiga juara kebangsaan ini berjaya mengetepikan persaingan sengit daripada 16 finalis akhir, yang sebelum itu telah menyaring ratusan peserta dari seluruh negara—merangkumi Perlis hingga ke Johor, serta Sabah dan Sarawak—sejak pusingan saringan bermula pada Januari dan Mac lalu.
Mereka bakal menggalas cabaran negara ke Pertandingan Kemahiran Mekanik Asia & Oceania 2026 yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia pada November depan.

Pentas serantau itu bakal menyaksikan mekanik terbaik Honda dari seluruh Asia dan Oceania berentap di bawah satu penanda aras sama.
Senarai Juara Kebangsaan Pertandingan Kemahiran Mekanik 2026
- Kategori COM 1 (Honda ADV160) – Muhammad Al’Amin Yusri (Wei Ling Motor Sdn. Bhd. | Wilayah Selatan)
- Kategori COM 2 (Honda RSX150) – Kwang Teck Hing (Kuek Motor (M) Sdn. Bhd. | Wilayah Tengah)
- Kategori FUN (Honda CB650R) – Aidil Adha Samsumar (Honda Big Wing Johor Bharu | Wilayah Selatan)



Sepanjang pertandingan akhir yang berlangsung sehari suntuk di Ibu Pejabat Boon Siew Honda, Pulau Pinang, kesemua peserta diuji berdasarkan piawaian antarabangsa rangkaian Asia dan Oceania Honda.
Tugasan merangkumi:
- Ujian Teori: 35 soalan mengenai pengetahuan teknikal harian dan standard servis Honda
- Ujian Praktikal (Atas Kenderaan): Melibatkan penyelenggaraan berkala, pembaikan am, dan stesen time attack
- Ujian Komponen (Luar Kenderaan): Penilaian yang memfokuskan kepada kualiti kerja, penggunaan alatan yang betul, dan keselamatan pekerjaan, berbanding kelajuan semata-mata
Sijil penyertaan disampaikan kepada semua 16 finalis dalam Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutupan yang berlangsung di Holiday Inn & Suites Juru, Pulau Pinang, malam tadi.

Ia sebagai pengiktirafan terhadap komitmen tinggi dan pengorbanan mereka mengharungi dua pusingan saringan yang amat mencabar.
Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda Sdn Bhd, Kunitomo Asano dalam pada itu menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian para pemenang yang menunjukkan dedikasi luar biasa berdasarkan bidang kepakaran mereka.
“Ketiga-tiga mekanik ini tidak berada di sini secara kebetulan. Mereka berada di sini kerana mereka memilih untuk menjadi yang terbaik dalam perkara yang amat penting — iaitu seni memastikan sebuah motosikal Honda berprestasi pada tahap yang sepatutnya.
“Apabila mereka melangkah ke gelanggang di Jakarta pada November ini, mereka bukan sahaja membawa nama Boon Siew Honda, malah membawa standard tinggi yang patut dicontohi oleh setiap mekanik Honda di Malaysia,” katanya.

Penyertaan ke Jakarta November ini adalah kali keempat dalam sejarah Boon Siew Honda menghantar wakil ke peringkat A&O.
Untuk rekod, dua penampilan lalu telah melahirkan juara Kategori FUN di Bangkok serta Naib Juara Kedua Kategori COM di Manila.

































