
Adakah anda masih ingat sebuah kereta kecil dengan teknologi kipas yang pernah beraksi di Goodwood ibarat seekor lipas kudung? Kini, McMurtry Automotive memperkenalkan versi produksi kepada jentera tersebut menerusi Spéirling PURE.
Model ini merupakan sebuah kereta hiper elektrik tempat duduk tunggal yang dibangunkan untuk menawarkan prestasi setaraf Formula 1, tetapi dalam pakej yang lebih mudah dimiliki dan dikendalikan oleh pelanggan.
Spéirling versi produksi dibangunkan hampir sepenuhnya semula dengan sekitar 95 peratus komponen baharu berbanding prototaip.
Ia melibatkan naik taraf menyeluruh dari aspek rangkaian kuasa, casis, aerodinamik, sistem kipas, suspensi dan juga kabin.
Harga jualan ditetapkan pada £995,000 (sekitar RM5.41 juta), tidak termasuk cukai, penghantaran dan pilihan tambahan.
Downforce-on-Demand: 2,000kg dari 0 km/j
Keunikan utama Spéirling PURE ialah sistem Downforce-on-Demand, iaitu teknologi kipas yang dipatenkan oleh McMurtry.
Berbeza dengan kereta lumba konvensional yang bergantung kepada aliran udara, dua kipas berkelajuan tinggi di bawah badan kereta menyedut udara untuk menghasilkan daya mendap serta-merta tanpa perlu kelajuan tinggi.
Hasilnya, Spéirling PURE mampu menghasilkan sehingga 2,000kg daya mendap bermula dari 0 km/j, lebih tinggi daripada berat kereta sekitar 1,350kg.
Sekaligus, ia membolehkan kereta ini mencapai daya selekoh sehingga 3g, daya membrek sehingga 3g, serta mengekalkan cengkaman yang konsisten walaupun pada kelajuan rendah.
Rangkaian kuasa 1,000hp dan bateri 100kWj
Spéirling PURE menggunakan bateri litium-Ion baharu berkapasiti 100kWj, meningkat berbanding 60kWj pada model prototaip.
Pek bateri ini menggunakan sel Molicel P50B NCA 21700 dan direka secara modular untuk kemudahan naik taraf masa hadapan.
Kuasa dihantar ke roda belakang menerusi dua motor elektrik bersama sistem e-differential.
Antara angka prestasi utama:
- Kuasa maksimum 1,000hp
- 0-96 km/j dalam 1.55 saat
- Kelajuan maksimum 305 km/j
- Sistem brek regeneratif sehingga 200kW
- Jarak penggunaan sekitar 40–50 km pada tahap pemanduan setanding jentera LMP2.
Sistem penyejukan juga diubah, dengan unit kini dipindahkan ke bahagian hadapan bagi meningkatkan kecekapan serta aliran udara ke belakang kenderaan.
Casis dan rekaan: Lebih besar, lebih praktikal
Walaupun masih mengekalkan identiti asal sebagai jentera trek kompak, Spéirling PURE kini dibina atas monokok gentian karbon baharu yang mematuhi piawaian keselamatan sukan permotoran global.
Perubahan dimensi turut dilakukan bagi menampung bateri lebih besar:
- Panjang: 3,815mm (+11%)
- Lebar: 1,795mm (+14%)
-
Jarak roda meningkat kepada 2.2 meter
Rekaan luaran juga diberi perhatian semula, termasuk saluran kemasukan udara sistem kipas yang kini lebih jelas kelihatan dari bahagian belakang.
Sayap belakang jenis leher angsa turut menempatkan ruang simpanan untuk helmet dan peralatan HANS.
Sistem kipas, suspensi dan pengalaman litar
Walaupun teknologi utama kekal sama, sistem sokongan turut dipertingkatkan bagi kegunaan litar yang lebih praktikal.
Sistem kipas dipertingkat:
- Bilah kipas baharu lebih tahan lasak
- Motor kipas dan sistem penyejukan baharu
- Kedudukan kipas diubah untuk pusat graviti lebih rendah
- Skirt bawah badan lebih tahan lama untuk penggunaan jarak jauh
- Pemampat udara terbina dalam menggantikan sistem botol udara luaran
Suspensi dan tayar:
- Pergerakan suspensi lebih panjang
- Ketinggian meningkat sekitar 20%
- Tayar Michelin slick lebih lebar (depan +11%, belakang +3%)
- Dinding tayar meningkat 15mm
- Stereng hidraulik gaya Formula 1 untuk maklum balas lebih tepat
Kabin dan pemilikan: fokus kepada pengalaman pemilik
Kabin Spéirling PURE direka untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih peribadi.
Setiap tempat duduk dihasilkan mengikut acuan badan pemilik seperti jentera Le Mans, dengan pelbagai pilihan kemasan.
Antara ciri utama:
- Stereng lumba dengan kawalan utama dan pedal khas mod kipas
- Skrin digital paparan data masa nyata
- Tempat duduk tempahan (custom moulded)
- Pilihan kemasan, jahitan dan grafik penuh personalisasi
Dari sudut operasi, kereta ini direka supaya hanya memerlukan seorang pemandu dan seorang pembantu untuk sesi litar.
Panel servis turut dipermudahkan bagi akses komponen utama termasuk penapis sistem kipas.
Pengalaman pemilikan dan program khas
McMurtry turut menawarkan program pemilikan eksklusif dikenali sebagai Owners Club, yang merangkumi:
- Sesi latihan pemanduan bersama jurulatih profesional
- Acara litar global dengan sokongan kilang
- Akses teknikal dan pembangunan berterusan
- Logistik penuh untuk acara antarabangsa
- Input pemilik dalam pembangunan model masa depan
Selain itu, kereta ini boleh dicas dari 20% ke 95% dalam masa sekitar 20 hingga 60 minit bergantung kepada pengecas.
McMurtry juga menawarkan bank kuasa mudah alih 100kWj dengan output 120kW yang boleh digunakan di mana-mana litar.
Spesifikasi McMurtry Spéirling PURE
Prestasi
- Pecutan: 0-96 km/j dalam 1.55 saat (one foot roll out)
- Kuasa: 1,000bhp
- Kelajuan maksimum: 305km/j
- Daya selekoh / membrek: 3g | 3g
- Daya mendap: sehingga 2,000kg dari 0km/j
Dimensi
- Panjang: 3,815mm | Lebar: 1,795mm | Tinggi: 1,056mm
- Jarak roda: 2,200mm
- Berat: sekitar 1,350kg (bergantung spesifikasi)
Operasi litar
- Jarak penggunaan: 40–50km setara pemanduan LMP2
- Pengecasan 20%–95%: 20–60 minit (bergantung suhu & pengecas)
- Operasi: pemandu + seorang pembantu atau sokongan kilang penuh
Sistem kawalan
- Kawalan Cengkaman
- ABS
- Konfigurasi dua motor elektrik, pacuan roda belakang dengan e-differential
- Bateri: 100kWj Lithium-Ion, sel Molicel P50B NCA 21700
Casis & kabin
- Monokok gentian karbon
- Ruang pemandu: sehingga 201cm (6ft 7”)
- Tempat duduk tempahan khas
- Pedal & stereng boleh laras
- Penyaman udara (pilihan)
Brek & tayar
- Brek: Cakera karbon seramik 390mm dengan kaliper Brembo 6-omboh
- Tayar depan: 30/68-18 Michelin Pilot Sport GT S8M
- Tayar belakang: 31/71-18 Michelin Pilot Sport GT S8M









