Mahu jual Yamaha RX-Z pada harga RM33k, demi kerja dakwah dan sumbangan maahad tahfiz

4447
Seorang pemilik akaun Facebook bernama Hafizuddin Zainuddin memuatnaik hantaran ingin melepaskan Yamaha RX-Z miliknya pada harga RM33,000.
 
Tujuan dia menjual motor kesayangan tersebut adalah bagi tujuan ibadah bahkan harga jualan juga boleh dikatakan lebih murah berbanding beberapa buah model yang sudah dijual di pasaran.
 
“Saya ingin melepaskan sebuah jentera kesayangan (harta dunia pertama) saya Yamaha RXZ 135cc. InsyaAllah, sebahagian daripada hasil jualan jentera ini akan saya hadiahkan kepada maahad tahfiz, anak yatim dan kerja dakwa,” tulisnya.
 

 
“Kalau ikutkan hati memang tak puas main motor. Motorpun baru saja siap restore awal tahun lepas. Tapi demi kerja-kerja dakwah dan sebahagian lagi untuk maahad tahfiz yang perlukan sumbangan, saya sanggup jual,” katanya. 
 
Dia juga menjelaskan hanya tiga komponen Yamaha RX-Z Energy Induction (Merah Marlboro) itu masih NOS (New Old Stock) iaitu tangki minyak pelincir 2T walaupun selalu bocor, cermin sisi dan pemijak kaki depan dan belakang.
 
Sementara, komponen seperti absorber, swing arm, brek cakera, pedal gear, hendal, pam brek dan fork depan digantikan dengan barangan recond. Manakala ekzos 3BS, set kunci, rim union cycle, tayar Dunlop TT100 dan hos brek daripada jenama Yamaha. 
 
Pemilik juga menjelaskan bahawa motor keluaran 1992 itu hanya menggunakan minyak Ron 97 atau V Power Racing. Bahkan, motor itu juga tidak pernah ditunggang jauh dan perjalanan paling jauh hanyalah dari Dungun ke Pekan.
 
Selain itu, pembeli baharu juga bakal menerima hadiah percuma misalnya jaket vintaj Yamaha Marlboro, rim Araya asli, set spanar Yamaha Jepun, beg dan baju Shell, cover motor hitam, topi Nascar & New Era STP ulang tahun ke-50 dan lain-lain. 
 
Menurut Hafizuddin motor berkenaan kali terakhir diselenggara bulan lalu dan menggunakan enjin standard.  
 
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar
 
 
 
 
 
 


APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here