Utama Berita Automotif Perodua Bezza rampas semula takhta daripada Proton Saga pada Jun 2026!

Perodua Bezza rampas semula takhta daripada Proton Saga pada Jun 2026!

6
Persaingan Saga, Bezza dan Axia

Medan persaingan kereta rakyat di Malaysia bagi bulan Jun 2026 menutup tirai separuh pertama tahun ini (1H 2026) dengan satu lagi plot pusingan U.

Selepas dikejutkan dengan amukan Proton Saga pada bulan Mei lalu, Perodua Bezza, kembali menunjukkan belang sebenar untuk merampas semula takhta pendaftaran bulanan.

Kelebihan yang dinikmati Bezza pada bulan Jun sekali gus melebarkan semula jurang penguasaan keseluruhan dalam usaha mempertahankan gelaran kenderaan paling laris di tanah air.

Pendaftaran Bulanan Jun: Bezza Pintas Hampir 1,000 Unit!

Memasuki bulan Jun, momentum pendaftaran bagi model segmen-A kembali menunjukkan corak pemulihan yang stabil selepas melalui fasa pasca-raya.

Namun, kebangkitan Perodua Bezza nyata jauh lebih agresif berbanding pencabarnya dari Tanjung Malim.

Berdasarkan data rasmi data.gov.my setakat 30 Jun 2026, berikut adalah angka pendaftaran bagi bulan Jun 2026:

  • Perodua Bezza: 7,998 unit (Mei: 7,079 unit)
  • Proton Saga: 7,000 unit (Mei: 7,337 unit)
  • Perodua Axia: 5,970 unit (Mei: 5,985 unit)

Dengan catatan 7,998 unit, Bezza berjaya menafikan impian Saga untuk mengekalkan kemenangan berturut-turut, meninggalkan pesaingnya dengan jurang perbezaan sebanyak 998 unit bagi bulan Jun sahaja.

Perodua Axia pula kekal konsisten membayangi di tangga ketiga dengan mencatatkan 5,970 unit.

Kedudukan YTD 1H 2026: Jurang Bezza dan Saga Melebar Semula

Kemenangan bermakna pada bulan Jun ini memberi nafas lega buat kem Perodua.

Walaupun Saga sebelum ini berjaya merapatkan jurang YTD kepada 2,231 unit pada akhir Mei, prestasi Bezza pada Jun telah melebarkan semula jurang terkumpul kepada 3,229 unit menuju ke separuh kedua tahun 2026.

Berikut adalah senarai rasmi 10 Model Terlaris di Malaysia (YTD sehingga 30 Jun 2026):

  1. Perodua Bezza: 47,463 unit
  2. Proton Saga: 44,234 unit
  3. Perodua Axia: 36,910 unit
  4. Perodua Myvi: 29,112 unit
  5. Perodua Alza: 19,504 unit
  6. Proton X50: 13,646 unit
  7. Proton S70: 12,832 unit
  8. Honda City: 12,121 unit
  9. Perodua Traz: 10,753 unit
  10. Proton e.MAS 5: 10,665 unit

Lagi kejutan pada 1H 2026 apabila Honda City membuat kemunculan semula yang bertenaga untuk menduduki tangga ke-8 YTD dengan 12,121 unit.

Angka itu meletakkan City sebagai satu-satunya model asing dalam kelompok 10 terbaik yang juga menyaksikan Ativa terkeluar daripada senarai.

Sementara itu, SUV elektrik pertama Proton, e.MAS 5, terus mempertahankan kedudukan sepuluh teratas dengan mengumpul 10,665 unit di tangga ke-10.

Prestasi Jenama: BYD Mengekori Mazda

Bagi kedudukan pengeluar (YTD Jun 2026), Perodua (158,295 unit) dan Proton (98,010 unit) terus selesa mendominasi kedudukan dua teratas pasaran automotif tempatan.

Toyota pula kekal memegang status jenama asing No. 1 dengan 50,591 unit, manakala Chery kukuh di kedudukan kelima dengan 15,974 unit hasil penawaran pelbagai variasi trenkuasa moden mereka.

Persaingan di antara negara pengeluar pula menyaksikan perebutan tangga ke-7 keseluruhan antara Mazda dan BYD:

  • Mazda (No. 7): 6,003 unit (YTD)
  • BYD (No. 8): 5,675 unit (YTD)

Hanya dipisahkan dengan 328 unit, gergasi China itu kekal konsisten mengekori Mazda.

Jetour juga tidak kurang hebatnya apabila mengukuhkan kedudukan di tangga ke-9 dengan 5,048 unit, manakala Mercedes-Benz melengkapkan kedudukan Top 10 jenama dengan 3,920 unit.

Sumber Data: data.gov.my

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here