Utama Berita Automotif Pelajar UiTM menang hadiah cabutan bertuah utama Perodua sempena KLIMS 2026

Pelajar UiTM menang hadiah cabutan bertuah utama Perodua sempena KLIMS 2026

7

Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nik Akmal Afifah Nik Mohd Fuad, 22, muncul pemenang hadiah utama Cabutan Bertuah P-Circle dianjurkan Perodua sempena Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026).

Dia membawa pulang Perodua Myvi 1.3 G berwarna Ivory White, yang disampaikan dalam satu majlis penyerahan di ibu pejabat Perodua pada 3 Julai lalu.

Cabutan bertuah itu berlangsung sepanjang KLIMS 2026 dari 12 hingga 21 Jun 2026, dengan penyertaan dibuka kepada pengunjung yang memuat turun aplikasi P-Circle serta mengaktifkan fungsi dompet digital P-Duit.

Selain hadiah utama berupa sebuah Perodua Myvi, Perodua turut menghadiahkan 100 unit jam pintar P-Go kepada pemenang cabutan bertuah lain.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, penyertaan syarikat dalam KLIMS 2026 menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung.

Beliau berkata, seramai 37,786 pengunjung mendaftar di reruai Perodua sepanjang pameran berlangsung dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti interaktif disediakan.

“Cabutan Bertuah P-Circle turut mendapat sambutan sangat baik, khususnya daripada golongan muda, dan Nik Akmal Afifah adalah pemenang bertuah yang berjaya membawa pulang hadiah utama,” katanya.

Sementara itu, Nik Akmal Afifah melahirkan rasa syukur dan teruja apabila namanya diumumkan sebagai pemenang.

“Sudah tentu kereta ini lebih baik daripada Perodua Axia yang saya pandu sekarang. Terima kasih Perodua. Anda memang terbaik,” katanya.

P-Circle adalah aplikasi digital serba lengkap dibangunkan Perodua bagi menawarkan pelbagai perkhidmatan dalam satu platform.

Selain dompet digital P-Duit, aplikasi itu turut menyediakan ciri berkaitan kesihatan, keselamatan, platform e-dagang serta perkhidmatan penstriman kandungan. Aplikasi tersebut kini boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store.

Pada KLIMS 2026, Perodua turut menarik perhatian pengunjung menerusi penampilan kereta konsep Chapter 2 (C2).

Model konsep itu mengetengahkan bahasa reka bentuk baharu syarikat, dipadankan dengan teknologi terkini serta dihasilkan oleh kumpulan pereka muda Perodua sebagai gambaran hala tuju jenama itu dalam pembangunan kenderaan elektrik pada masa hadapan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here