
Hyundai Motor Malaysia meraikan ulang tahun pertamanya di pasaran tempatan menerusi kempen jualan selama tiga bulan, bermula 1 Julai hingga 30 September 2026, dengan menawarkan pelbagai promosi menarik, hadiah eksklusif serta pengalaman interaktif.
Kempen istimewa itu diadakan sebagai penghargaan kepada pelanggan yang menyokong jenama Hyundai sepanjang tahun pertama operasinya di Malaysia, selain memperkukuh komitmen syarikat untuk terus menawarkan penyelesaian mobiliti inovatif serta pengalaman pemilikan lebih bernilai.
Presiden Hyundai Motor Malaysia, Eric Lee berkata, ulang tahun pertama syarikat adalah satu pencapaian penting dalam perjalanan Hyundai di Asia Tenggara dan mencerminkan hubungan kukuh yang dibina bersama pelanggan di Malaysia.
Menurutnya, Hyundai menghargai kepercayaan, semangat serta sokongan diberikan pengguna tempatan dan akan terus memperkenalkan penyelesaian mobiliti moden, pengalaman pelanggan lebih baik serta nilai tambah kepada pasaran Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen berkata, sambutan ulang tahun tersebut bukan sekadar meraikan pencapaian syarikat, malah sebagai penghargaan kepada pelanggan yang telah bersama Hyundai sejak hari pertama.
Beliau menegaskan, setiap pembelian kenderaan, kunjungan ke bilik pameran dan sokongan pelanggan memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan Hyundai Motor Malaysia sepanjang tahun pertamanya.
Sepanjang tempoh kempen, pelanggan yang membeli model terpilih seperti **Hyundai Santa Fe, Staria dan Tucson boleh memilih antara dua pakej istimewa.
Pakej Total Drive Reward menawarkan rebat tunai sehingga 16 peratus daripada harga runcit yang disyorkan, lapan kali servis berjadual percuma merangkumi alat ganti dan kos buruh, serta subsidi bahan api sehingga RM5,000 untuk model Hyundai terpilih.
Sebagai alternatif, pelanggan boleh memilih Instant Saving Package yang menawarkan rebat tunai segera sehingga RM36,000.
Hyundai Motor Malaysia turut memperkenalkan kempen ganjaran Durian Runtuh Berganda-ganda! yang memberi peluang kepada pelanggan memenangi sebuah Hyundai Stargazer baharu.
Pelanggan yang membuat tempahan atau mendaftarkan mana-mana model Hyundai baharu sepanjang tempoh kempen akan layak menyertai cabutan hadiah utama tersebut.
Selain itu, sesi pandu uji, tempahan dan pendaftaran kenderaan turut melayakkan pelanggan menyertai Monthly Lucky 7 Winners Campaign, menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dalam bentuk kredit Touch ‘n Go eWallet.
Bagi melengkapkan pengalaman pemilikan, semua kenderaan Hyundai baharu yang dibeli turut disertakan program selepas jualan myHyundaiCare, termasuk jaminan kenderaan selama lapan tahun atau 160,000 kilometer, yang mana terdahulu.
































