
Pasaran kenderaan elektrik (EV) China dikenali sebagai wilayah yang kebal daripada jenama asing. Keadaan ini dikecualikan untuk Tesla yang begitu digemari di sana.
Tembok di China dibina oleh lambakan produk tempatan yang hebat dengan tawaran teknologi canggih dan pesat selain mempunyai identiti reka bentuk tersendiri.
Namun demikian, Hyundai Motor Company secara rasmi melancarkan jenama rangkaian Ioniq elektrik di China sebagai isyarat komitmen baharu terhadap pasaran kenderaan tenaga baharu (NEV).
Bukan bermaksud Hyundai tidak pernah hadir di China tetapi kali ini dengan agenda baharu.
Pelancaran Jenama Ioniq di Beijing
Hyundai memperkenalkan rangkaian Ioniq di Beijing menjelang Pameran Auto Beijing yang dijadualkan berlangsung pada 24 April.
Melalui acara ini, Hyundai bukan sekadar menawarkan produk malah membentangkan strategi untuk memperkukuh kedudukan di pasaran China dengan mengembangkan jenama Ioniq menjadi satu pengalaman mobiliti.
Langkah ini dimulakan dengan penampilan sulung dua kereta konsep reka bentuk yang akan menentukan hala tuju masa depan jenama tersebut.
Konsep Planet dalam Alam Semesta Ioniq
Sebagai sebahagian daripada strategi di China, Hyundai Motor memperkenalkan sistem penamaan unik di mana model Ioniq masa hadapan akan dinamakan sempena nama planet.
Konsep ini melambangkan setiap kenderaan mengorbit di sekeliling pelanggan yang menjadi fokus utama dalam alam semesta Ioniq.
Dua model konsep yang diperkenalkan iaitu VENUS Concept dan EARTH Concept merupakan hasil nyata pertama daripada strategi ini.
Kedua-duanya menampilkan gayaan single-curve yang bertujuan memberikan pandangan pertama yang kuat dan berbeza secara emosi selaras dengan prinsip Lead, don’t follow.
Sedan Ikonik VENUS Concept
VENUS Concept merupakan sebuah sedan yang diinspirasikan daripada keindahan planet paling terang untuk menjadi ikon baharu dalam segmennya.
Bahagian luaran menggunakan warna Radiant Gold yang melambangkan penerokaan dan kegemilangan.
Reka bentuknya menampilkan bumbung berstruktur bingkai yang ringan serta spoiler lutsinar.
Di bahagian dalam, kokpit jenis melingkar yang menumpukan kepada pemandu dilengkapi dengan pencahayaan mood berlapis.
Terdapat kontras bahan yang jelas antara suede lembut dan balutan belakang kerusi jenis sport emas krom.
Watak digital atau avatar Lumi diintegrasikan untuk mewujudkan hubungan antara pemandu dan kenderaan.
SUV Keluarga EARTH Concept
EARTH Concept pula merupakan SUV keluarga yang melambangkan daya hidup dan keseimbangan biologi bumi.
Bahagian luarannya menggunakan warna Aurora Shield dengan gabungan garisan tajam dan rekaan berdimensi bagi memberikan imej futuristik.
Ia turut dilengkapi dengan perincian lasak seperti skid plates dan riasan bolt yang terdedah.
Ruang dalaman direka seperti sebuah bumi kecil dengan inovasi kerusi air-hug yang menggunakan modul udara lembut.
Suasana kabin dipertingkatkan dengan pencahayaan mood yang meniru bayang pokok serta elemen shy-tech.
Watak digital Aero dan corak peta Beijing yang tersembunyi turut disertakan dalam reka bentuk dalaman ini.
Strategi Hyundai Motor untuk pasaran China
Disebabkan piawaian kenderaan elektrik yang tinggi dan struktur harga di China, sesebuah pengeluar tidak boleh menggunakan strategi yang sama seperti pasaran lain.
Hyundai memberikan gambaran mengenai teknologi eksklusif Ioniq yang disesuaikan khusus untuk pengguna di China.
Ini termasuk pengenalan sistem pemanduan autonomi yang dibangunkan bersama rakan kongsi tempatan.
Selain itu, Hyundai turut mengguna pakai penyelesaian khusus pasaran seperti kenderaan penambah jarak atau Extended Range Electric Vehicles (EREV).
Teknologi ini mencerminkan falsafah berpusatkan manusia bagi memenuhu keperluan dunia sebenar pengguna di negara tersebut.







