
Bermaz Motor secara rasmi memperkenalkan Mazda CX-5 serba baharu, model generasi ketiga yang meneruskan legasi SUV popular itu sejak diperkenalkan pada 2012.
Dengan jualan global melebihi lima juta unit, CX-5 kekal sebagai antara model terpenting Mazda, terkenal dengan gabungan reka bentuk Kodo, teknologi SkyActiv serta pengalaman pemanduan yang menekankan hubungan antara pemandu dan kenderaan atau Jinba Ittai.
Bagi generasi terbaharu, Mazda mengekalkan identiti reka bentuk sedia ada namun dengan penampilan lebih tegap dan moden menerusi dimensi lebih besar, jarak roda dipanjangkan serta profil badan lebih lebar.


Bahagian hadapan menerima pembaharuan menerusi :
- lampu utama baharu
- gril Signature Wing yang direka semula
- bukaan bampar lebih luas bagi menonjolkan karakter premium dan dinamik
Di bahagian belakang pula dilengkapi grafik lampu LED baharu bersama tulisan MAZDA menggantikan logo konvensional bagi menampilkan imej lebih moden.
Ruang dalaman pula menampilkan konsep minimalis berinspirasikan falsafah Jepun Ma yang menekankan keseimbangan ruang dan keselesaan, dengan jarak roda lebih panjang membolehkan ruang penumpang belakang diperluas selain ruang kargo lebih praktikal untuk kegunaan harian keluarga.
Dari segi kelengkapan, Mazda CX-5 serba baharu dilengkapi :
- rim aloi 19 inci rekaan baharu
- paparan sentuh 12.9 inci
- kluster instrumen digital 10.25 inci
- ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
- pengecas telefon tanpa wayar Qi
- port USB-C
- sistem audio BOSE 12 pembesar suara
- lampu ambien tujuh pilihan warna
- Monitor Pandangan 360 Darjah dengan fungsi See Through View
Aspek keselesaan turut dipertingkat dengan tambahan :
- ruang lutut belakang sebanyak 64 milimeter (mm)
- ruang kepala belakang 29mm
- bukaan pintu belakang lebih luas 70mm
- ruang kargo dipanjangkan 45mm
- tempat duduk hadapan rekaan ergonomik baharu dengan perehat tangan lebih panjang
Model itu dikuasakan enjin SkyActiv-G 2.5 liter empat silinder aspirasi semula jadi berkuasa 185 kuasa kuda (hp) dengan tork maksimum 257 Newton-meter (Nm), dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan serta Sistem G-Vectoring Control Plus (GVC Plus).


Ia turut menampilkan struktur badan keluli tegangan tinggi yang dipertingkat serta sistem suspensi baharu bagi keselesaan pemanduan lebih baik.
Bagi aspek keselamatan, CX-5 serba baharu dilengkapi :
- rangkaian teknologi bantuan pemandu i-Activsense termasuk Adaptive LED Headlights (ALH)
- Blind Spot Monitoring (BSM)
- Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
- Front Cross Traffic Alert (FCTA)
- Lane Departure Warning System (LDWS)
- Lane Keep Assist System (LAS)
- Driver Attention Alert (DAA)
- Driver Monitoring (DM)
- Smart Brake Support (SBS)
- Emergency Lane Keeping (ELK)
- Mazda Radar Cruise Control (MRCC)
- Cruising & Traffic Support (CTS)
Model berkenaan turut menerima pengiktirafan Top Safety Pick+ 2026 daripada Insurance Institute for Highway Safety di Amerika Syarikat.


Mazda turut memperkenalkan dua pilihan warna baharu iaitu Navy Blue dan Aero Gray, selain empat warna sedia ada iaitu Rhodium White, Soul Red Crystal, Machine Gray dan Jet Black.
Didatangkan sepenuhnya sebagai model import sepenuhnya (CBU) dari Hiroshima, Jepun, Mazda CX-5 serba baharu ditawarkan pada harga bermula RM169,900.
Setiap pembelian disertakan waranti pengeluar selama lima tahun serta program penyelenggaraan percuma selama lima tahun atau 100,000 kilometer (km), yang meliputi kos alat ganti, buruh dan pelincir tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan Mazda Malaysia.




