Utama Berita Automotif Mazda CX-5 cecah jualan 5 juta unit, turut dipasang di Malaysia!

Mazda CX-5 cecah jualan 5 juta unit, turut dipasang di Malaysia!

6

Mazda Motor Corporation mengumumkan pencapaian luar biasa bagi model Mazda CX-5 apabila jumlah pengeluaran dan jualan global terkumpul bagi SUV popular ini telah mencecah lima juta unit setakat akhir tahun 2025.

Pencapaian ini menempatkan CX-5 sebagai model Mazda ketiga dalam sejarah yang berjaya melepasi angka lima juta unit selepas model Mazda 323 dan Mazda3.

Apa yang lebih mengagumkan, CX-5 merupakan model terpantas yang mencapai angka tersebut siri kenderaan Mazda yang menggunakan teknologi Skyactiv sepenuhnya serta falsafah reka bentuk Kodo Soul of Motion.

Sehingga kini, Mazda CX-5 telah dipasarkan di lebih 100 buah negara dan wilayah di seluruh dunia.

Sejarah Evolusi dan Pengeluaran di Malaysia

Sejarah CX-5 bermula pada tahun 2011 apabila pengeluaran generasi pertama dilancarkan di Kilang Ujina No.2 di Jepun.

Sejak itu, Mazda telah memperluaskan operasi pengeluarannya ke Kilang Ujina No.1, Kilang Hofu dan juga fasiliti pengeluaran di China melalui Changan Mazda Automobile Co., Ltd. (CMA).

Model ini juga melalui proses pemasangan tempatan atau CKD di Malaysia melalui Mazda Malaysia Sdn. Bhd. dan di Vietnam menerusi Vina Mazda Automobile Manufacturing Co., Ltd.

Sejak tahun 2018, CX-5 secara konsisten memegang takhta sebagai model paling laris dalam seluruh barisan produk Mazda.

Pengenalan Generasi Ketiga Serba Baharu

Mazda telah mendedahkan model CX-5 generasi ketiga serba baharu di Eropah pada Julai 2025.

Selepas kemunculan sulung di pasaran Eropah, model ini kemudian dibawa ke Japan Mobility Show 2025 pada bulan Oktober.

Model generasi terbaharu ini dijadualkan akan dilancarkan secara rasmi di pasaran Amerika Utara dan Jepun menjelang musim bunga 2026.

Menurut Koichiro Yamaguchi selaku Pengurus Program bagi Mazda CX-5, model generasi ketiga ini merupakan perubahan penuh selepas lapan tahun.

Ia memfokuskan kepada perincian reka bentuk sporti, dinamik pemanduan yang lebih mantap, serta ruang kabin yang luas untuk keselesaan semua penumpang.

Inovasi Human Machine Interface dan Kebolehgunaan

Mazda turut memperkenalkan sistem Human-Machine Interface (HMI) yang telah direka semula pada model terbaharu ini.

Ia merupakan sistem yang menghubungkan kaedah pertukaran maklumat antara pemandu dan mesin melalui peranti serta perisian yang lebih intuitif.

Evolusi ini bertujuan untuk menjadikan CX-5 sebuah SUV generasi baharu yang lebih praktikal untuk kegunaan harian dan meningkatkan kualiti hidup pemiliknya.

Selain itu, Mazda juga memperkenalkan warna baharu iaitu Navy Blue Mica sebagai pilihan terkini untuk menyerlahkan lagi penampilan estetik kenderaan mereka.

Garis Masa dan Pencapaian Mazda CX-5

  • September 2011: Tayangan perdana dunia generasi pertama di 64th Internationale Automobil-Ausstellung atau Frankfurt Motor Show 2011.
  • November 2012: Memenangi anugerah Japan Car of the Year.
  • Januari 2013: Menduduki tangga pertama jualan SUV domestik di Jepun bagi tahun 2012 mengikut klasifikasi Persatuan Pengedar Kereta Jepun.
  • Januari 2014: Kekal di kedudukan pertama jualan SUV domestik di Jepun bagi tahun 2013.
  • April 2015: Mencapai jumlah pengeluaran global terkumpul sebanyak 1 juta unit.
  • November 2016: Tayangan perdana dunia generasi kedua di Los Angeles Auto Show.
  • Februari 2022: Merangkul penarafan keselamatan tertinggi IIHS TOP SAFETY PICK+ daripada selama 9 tahun berturut-turut.
  • Julai 2025: Kelibat generasi ketiga mula didedahkan di Eropah.
  • Oktober 2025: Mazda CX-5 serba baharu dipamerkan di Japan Mobility Show 2025.
  • Akhir 2025: Jualan dan pengeluaran global terkumpul mencecah 5 juta unit.

Mazda CX-5 Generasi Pertama

Mazda CX-5 Generasi Kedua

Mazda CX-5 Generasi Ketiga

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here