Suzuki Malaysia perkenal bukan satu namun enam jentera baharu, harga mula RM37k

2174

Kisah tentang pengunduran Suzuki Assemblers Malaysia dari pasaran tempatan dan bakal diambil alih oleh sebuah syarikat baharu sudah lama berlegar sebelum pandemik lagi.

Sejak itu pelbagai spekulasi muncul antaranya jenama itu bakal diambil alih oleh pengedar rasmi Kawasaki di Malaysia. Setelah lama berteka-teki segala persoalan terjawab apabila Suzuki Malaysia mengumumkan barisan model 2021 buat pasaran tempatan.



Wakil pengedar baharu itu merupakan barisan orang kuat di sebalik jenama Kawasaki yang memiliki pengalaman lebih 33 tahun dalam industri motosikal. Tentunya kita mengharapkan zaman kegemilangan Suzuki kembali di Malaysia.

Bukan satu namun Suzuki Malaysia memperkenalkan enam produk serentak bahkan sudah ada  lebih 70 wakil pengedar tempatan sebagai sokongan selepas jualan. Diam-diam ubi berisi.

Menurut Pengarah Urusan dan Pengurus Besar Suzuki Malaysia, Datuk Jeffry Lim, kesemua model sudah ada di pusat jualan Suzuki Malaysia.

“Dengan teknologi dua roda terkini bersama gabungan pilihan warna dan grafik trend semasa kami percaya produk ini dapat memberi keterujaan kepada peminat motor.

“Enam model berkenaan menawarkan kepelbagaian prestasi tinggi, gaya hidup urban, dua kegunaan dan jentera jalanan pertengahan,” katanya.  

SUZUKI GSX-R1000 & GSX-R1000R

Harga cadangan tidak termasuk insurans dan pendaftaran:

  • Suzuki GSX-R1000: RM99,289 (Metallic Matte Black)
  • Suzuki GSX-R1000R: RM110,289 (Metallic Triton Blue/Metallic Mystic Silver & Metallic Matte Black)

GSX-R1000 dan GSX-R1000R berkongsi enjin sama iaitu 999.8cc DOHC 4-silinder sebaris  penyejukan cecair dan teknologi suntikan bahan api (FI) yang menghasilkan kuasa 194hp @ 13,200rpm dan tork 117Nm @ 10,800rpm.

Lebih kompak dan enjin yang ringan menawarkan penghantaran kuasa terbaik sepanjang nisbah rpm yang kemudian dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan.

Pakej aerodinamik yang dinaiktaraf menyumbang kepada frem aluminium spar berkembar lebih ringan dan kompak berbanding generasi sebelumnya. Sementara frem pivot lengan ayun boleh laras membolehkan penunggang menala casis untuk prestasi perlumbaan trek.

Panel instrumen multiinfo mendapat inspirasi daripada papan pemuka GSX-RR MotoGP. Kedua-dua motor dilengkapi dengan Sistem Bi-Directional Quick Shift Suzuki yang membolehkan tukaran gear tanpa klac bersama Sistem Bantuan Klac Suzuki (SCAS) multi-plat.

Ciri peralatan lain termasuk fork depan Showa (BFF), brek Brembo 4-piston, brek kaliper radial dan Sistem Brek Anti Kunci (ABS).

SUZUKI KATANA (GSX-S1000S)

Harga cadangan tidak termasuk insurans dan pendaftaran:

  • RM77,989 (Metallic Mystic Silver & Glass Sparkle Black)

Katana dikuasakan enjin 999cc empat sebaris penyejukan cecair yang menghasilkan kuasa  147hp @ 10,000rpm dan tork 108Nm @ 9,500rpm dengan transmisi 6-kelajuan.

Padanan konfigurasi lejang yang panjang menawarkan respons terotel lancar yang kemudian dilengkapkan dengan ciri keselamatan SCAS sama seperti GSX-R1000R serta ABS. Kesemua sistem lampu menggunakan LED penuh bersama panel meter multifungsi.

SUZUKI GSX-S750

Harga cadangan tidak termasuk insurans dan pendaftaran:

  • RM40,989 (Metallic Triton Blue/Glass Sparkle Black& Metallic Oort Gray/Glass Sparkle Black)

Naked bike ini dilengkapi dengan enjin 749cc DOHC penyejukan cecair dan FI yang menghasilkan kuasa 113hp dan tork 81Nm bersama transmisi 6-kelajuan klac basah multiplat.

Naik taraf enjin termasuk terotel badan dengan Sistem Dual Throttle Valve Suzuki (SDTV) memberikan respons pendikit  dan nisbah rpm tork rendah ke pertengahan lebih baik.

Suspensi jenis fork terbalik (USD) Kayaba di depan dan monoshock (belakang) dilengkapkan dengan brek cakera kembar Nissin, kaliper 4-piston (depan) dan cakera tunggal Nissin, kaliper piston tunggal (belakang) bersama ABS.

Sistem SATC ditawarkan dengan mod berikut: 

    • Mod 1: Tahap sensitiviti paling rendah, sesuai untuk penunggang mahir atau atas permukaan jalan dengan cengkaman baik
    • Mod 2: Tahap sensitiviti sederhana, sesuai untuk semua penunggang atau permukaan jalan yang pelbagai
    • Mod 3: Tahap sensitiviti tertinggi, sesuai untuk permukaan jalan yang kurang cengkaman misalnya basah atau sejuk
    • Off: Dimatikan

SUZUKI V-STROM 650XT

Harga cadangan tidak termasuk insurans dan pendaftaran:

  • RM37,989 (Candy Daring Red/Glass Sparkle Black & Champion Yellow)

V-Strom 650XT ditawarkan dengan enjin 645cc V-Twin 2-silinder dengan transmisi 6-kelajuan. Jentera ini dilengkapi dengan sistem keselamatan seperti SATC, ABS, Sistem Mudah Hidup dan Bantuan RPM Rendah.

Antara ciri peralatan lain yang ditawarkan visor angin boleh laras tiga peringkat, meter kombinasi analog dan digital, gad tangan, kowl bawah enjin, rim jejari dan tayar tubeless,  selain tangki minyak bersaiz 20 liter dan jarak kelegaan tanah 170mm.

Casis yang kukuh dan ringan dibina dengan poin cagak untuk memudahkan pemilik memasang dan menanggalkan boks.

SUZUKI SV650

Harga cadangan tidak termasuk insurans dan pendaftaran:

  • RM37,289 (Pearl Brilliant White/Glass Sparkle Black)

Jentera ini dipacu oleh enjin 645cc V-Twin dengan konfigurasi 90º yang kali pertama diperkenalkan pada 1999 dan mendapat sambutan hangat di Eropah.

Enjin penyejukan cecair itu berkuasa 75hp @ 8,500rpm dan dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan.

Jentera seberat 198kg itu dilengkapi dengan brek cakera kembar 290mm dengan kaliper Tokico di depan dan cakera tunggal di belakang serta ABS.

Kesemua model import (CBU) dari Jepun itu didatangkan dengan waranti pengilang dua tahun atau jarak perbatuan 20,000km (mana tiba terdahulu).

 
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here