
Segmen sport-touring kelas satu liter meriah dengan kehadiran beberapa nama terkenal seperti Kawasaki Versys 1100, Suzuki GSX-S1000GX serta Yamaha Tracer 9 GT+.
Honda pula dilapor bakal hadir dengan model baharu yang mungkin dinamakan sebagai CB1000 GT.
Menurut laporan Motorrad, Honda CB1000 GT merupakan crossover antara sport-tourer dan motosikal kembara jalanan.
Ia bakal diposisikan lebih tinggi berbanding CB1000 Hornet, dengan suspensi yang lebih tinggi dan rim bersaiz 17 inci.
Honda CB1000 GT ini bakal dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 999 cc menghasilkan kuasa 150 hp pada 11,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan dan penukaran gear pantas.
Laporan itu turut menyenaraikan berat CB1000 GT sekitar 220 kg dengan tangki bahan api berkapasiti 20 liter.
Pembeli juga boleh menjangkakan kelengkapan moden standard seperti skrin paparan TFT berwarna penuh, sambungan kepada peranti pintar, kawalan jelajah, bantuan tunggangan elektronik, serta penawaran aksesori sebagai opsyen.
Honda CB1000 GT dijangka hadir menjelang tahun 2026.
































