
Pasaran kereta masa kini meriah dengan kehadiran pelbagai jenis model dari Tanah Besar China.
Di beberapa pasaran membangun, kenderaan jenama China memberikan saingan yang cukup hebat kepada pengeluar automotif tradisional, seperti di Amerika Latin, Afrika, Timur Tengah, Asia Tengah dan Asia Tenggara, menurut laporan Motor1.
Salah satu faktor yang menyumbang kepada keadaan tersebut ialah harga yang lebih kompetitif.
Kelompok pengguna di negara tersebut lebih sensitif dengan harga, menjadikan kereta buatan China pilihan ramai disebabkan harga yang lebih rendah berbanding pesaing dari jenama Eropah, Jepun, Korea dan Amerika.
Kelebihan tersebut lebih jelas menonjol di dalam segmen kenderaan elektrik.
Mengambil contoh terdekat dari negara jiran Thailand, kereta buatan China kini menguasai 32.4 peratus pasaran, sementara Indonesia pula mencatatkan 12.2 peratus. Malaysia pula mencatatkan angka 6.6 peratus.
Perang harga yang dilancarkan oleh jenama-jenama China setakat ini tidak menunjukkan tanda-tanda menurun.
Dengan lebih banyak model baharu dirancang untuk tempoh dua tiga tahun akan datang, sudah tentu jenama-jenama ternama sebelum ini sukar untuk duduk diam.

































