Apa yang anda perlu tahu tentang Honda Prelude 2025

135

Apabila Honda mendedahkan model konsep Prelude pada Pameran Mobiliti Jepun (TMS) 2023, syarikat itu mengesahkan yang model itu akan memasuki fasa produksi.

Kini, kira-kira sembilan selepas kereta tersebut membuat kemunculannya di Tokyo, beberapa informasi awal mengenainya sudah mula timbul dalam talian.



Menurut laporan, versi produksi akan mengekalkan nama Prelude apabila memasuki pasaran kelak. Ia akan menggantikan Civic Coupe dan Accord Coupe, dan akan bertindak sebagai pemula (atau prelude) kepada semua kenderaan elektrik yang akan dilancarkan oleh Honda pada masa hadapan.

Mengenai reka bentuknya pula, Prelude versi produksi akan mengekalkan bentuk badan coupe dua pintu seperti yang dipertontonkan menerusi model konsep di TMS 2023.

Walaupun ruang dalamannya tidak pernah ditunjukkan, desas-desus mengatakan yang ia akan tampil dengan elemen-elemen reka bentuk Honda yang sedia ada, berserta penjenamaan Prelude dan konfigurasi tempat duduk 2+2.

Dari segi saiz pula, Prelude baharu dikatakan tidak jauh berbeza dengan Toyota GR86, cuma ia dua inci lebih panjang dan setengah inci lebih lebar. Ukuran jarak roda dan tinggi juga dikatakan hampir sama dengan kereta sport Toyota itu.

Honda juga mengesahkan yang model baharu itu akan didatangkan dengan trenkuasa hibrid dengan dua motor elektrik.

Laporan terkini mengatakan ia akan menggunakan enjin e:HEV 2.0 liter empat silinder yang sama seperti yang terdapat pada varian hibrid Civic dan Accord.

Bagaimanapun, Prelude mempunyai kuasa yang lebih tinggi iaitu sekitar 207 hp, iaitu 7 hp dan 3 hp lebih tinggi berbanding Civic Hybrid dan Accord Hybrid.

Untuk transmisi pula, besar kemungkinan yang model yang akan datang ini akan menggunakan kotak gear jenis CVT.

Laporan turut mengatakan yang Honda akan memposisikan coupe itu sebagai pilihan yang lebih premium di atas Civic. Di Jepun, harganya dijangka bermula dari 4.2 hingga 4.5 juta yen (RM126,323 hingga RM135,347).

Bila Prelude akan mula dijual? Ia dijangka memasuki pasaran sekitar separuh kedua 2025 dan dijual sebagai model tahun 2026.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here