3 pelumba negara cuba nasib di Rome untuk FIA Motorsport Games

1121

Seramai 3 pelumba negara akan menyertai dua kategori dalam temasya permotoran empat roda yang julung kali dianjurkan, FIA Motorsport Games di Litar Vallelunga, Rome, Itali pada 1 hingga 3 November ini. 

Pemandu berpengalaman, Weiron Tan dan Adrian D’Silva akan berentap dalam kategori GT Cup, menggunakan jentera Porsche GT3 bersama pasukan Earl Bamber Motorsport (EBM).



Manakala pemenang eRacing Grand Prix SEA, Mior Muhamad Hafiz menyahut cabaran kategori Digital Cup. 

Weiron yang menutup tirai musim Cabaran GT Dunia Blancpain Siri Asia 2019 di Shanghai minggu lalu dengan keputusan yang baik, tetap positif untuk melakar kejayaan pada temasya sukan ala ‘Sukan Olimpik’ itu walaupun ini kali pertama dia digandingkan bersama D’silva.

Harapan

Weiron Tan

“Ini kali pertama digandingkan dan pertama kali menyertai FIM Motorsport Games ini. Sebelum ini ia dikenali sebagai Nation Cup,” kata Weiron mengenai temasya yang mempertandingkan enam kategori GT Cup, Touring Car Cup, Formula 4 Cup, Drifting Cup, Karting Slalom Cup dan Digital Cup itu. 

“Kami sudah melalui sesi ujian yang positif. Saya sudah berlumba di sepanjang tahun ini dan hanya memerlukan beberapa pusingan untuk menyesuaikan diri dengan jentera baharu ini. EBM sangat positif dan kami tidak sabar untuk mewakili Malaysia. 

“Saya juga berterima kasih kepada Audi (majikannya musim ini) kerana memberikan kebenaran untuk berlumba mewakili Malaysia. Secara teknikalnya saya masih mempunyai kontrak bersama Audi dan gembira dengan peluang diberikan ini.

Weiron dan Martin Rump meletakkan pasukan Audi Sport Asia Team Absolute Racing di tangga keempat keseluruhan di Cabaran GT Dunia Blancpain Siri Asia selain meraih satu kemenangan di sana, minggu lalu. 

Mengulas sama ada dia akan membawa momentum berkenaan di Vallelunga nanti, Weiron yang sudah menceburi dunia sukan permotoran empat roda selama 12 tahun berkata: “Harap-harap begitulah.

“Ia sebuah litar yang baharu untuk kami berdua tetapi daripada persiapan dilakukan, kami harap dapat melakukan yang terbaik dan meletakkan Malaysia di podium teratas. 

“Saya ada mengenali beberapa pasukan dan juga pemandu yang akan bertanding nanti. Saya rasa persaingan tentunya agak kompetitif. Jadi kami perlu bersedia dan memberi kerjasama sebaik mungkin bersama pasukan dan memberikan saingan yang baik di sana nanti.”

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here