SPRM tahan 30 individu termasuk 24 penguatkuasa JPJ

2847

Mahkamah Majistret di George Town hari ini membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap 30 individu, termasuk 24 penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang.

Imej: Berita Harian

Perintah reman berkuatkuasa sehingga Selasa hadapan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Nur Fadrina Zulkhairi, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Bagaimanapun, tiga wanita daripada 33 suspek yang ditahan semalam, dibebaskan dengan jaminan SPRM. Mereka dipercayai berperanan sebagai proksi bagi kes terbabit.



Daripada jumlah tangkapan itu, lapan individu termasuk tiga wanita terbabit merupakan orang awam yang berperanan sebagai proksi, tonto serta pemilik syarikat.

Menurut sumber SPRM, kesemua pegawai penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 daripada Pejabat JPJ negeri berkenaan dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 ke RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.

“Wang yang diterima tersebut dipercayai untuk pegawai kanan JPJ bagi tujuan hiburan,” katanya.

Jelas sumber berkenaan, tangkapan itu merupakan siasatan peringkat pertama dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Katanya, dianggarkan tidak kurang daripada 75 pegawai penguat kuasa JPJ terlibat menerima rasuah daripada pemilik syarikat-syarikat lori.

Dalam pada itu, sumber itu menambah, kumpulan lori-lori yang dilindungi tersebut dibekalkan dengan pelekat khas yang disediakan oleh tonto supaya mereka mudah dikenal pasti sekali gus kebal daripada tindakan penguat kuasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Jelas beliau, operasi besar-besaran oleh Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dengan kerjasama SPRM negeri itu dilakukan hasil risikan sejak beberapa bulan lalu selain mendapat maklumat daripada orang awam.

“Kita tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Kesemua yang ditahan dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown untuk mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here