Tayar pancit Honda Odyssey selamatkan lembu daripada dicuri

2529

Tayar kereta pancit menggagalkan rancangan seorang suspek melarikan tiga ekor lembu yang dicurinya di Felda Chini di sini, hari ini. Suspek dikatakan sudah menggunakan ubat pelali terhadap semua lembu berkenaan. Namun tidak sempat dilarikan selepas satu daripada tayar kenderaan jenis Honda Odyssey yang digunakan pancit.

Honda Odyssey

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof, berkata anggota Balai Polis Chini menerima maklumat daripada orang awam pada jam 7.35 pagi mengenai kejadian itu.



“Anggota polis bergegas ke tempat kejadian di Jalan Kilang A, FELDA Chini 3. Mereka mendapati sebuah kenderaan Honda Odyssey hitam ditinggalkan tanpa pemandu.

“Pemantauan ke atas kenderaan itu dibuat hampir 30 minit namun tiada sesiapa yang dilihat di kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, pemeriksaan polis mendapati kenderaan berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran.

“Anggota polis menemui tiga ekor lembu dalam keadaan lemah dipercayai dibius dalam kenderaan itu.

“Seorang penduduk mengaku sebagai pemilik lembu berkenaan dan merujuk haiwan berkenaan kepada pihak veterinar untuk mendapatkan rawatan jika perlu,” katanya.

Beliau berkata, kenderaan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan untuk tindakan selanjutnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here