JPJ Perlis beri penjelasan selepas dipersoalkan jadi marshal konvoi Kelab Mustang

1271

Baru baru ini, netizen mempersoalkan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis selepas tersebar beberapa gambar di media sosial apabila dilihat melakukan ‘escort’ atau kawalan protokol ke atas peserta konvoi Kelab Mustang Malaysia.

Difahamkan konvoi tersebut melibatkan lebih 50 kenderaan dari seluruh negara menyertai program kembara tersebut yang diadakan selama tiga hari di beberapa lokasi sekitar negeri Perlis.



Namun, JPJ Perlis tampil memberi penjelasan bahawa kehadiran kenderaan milik jabatan itu semasa konvoi Kelab Mustang Malaysia ke Perlis pada Jumaat lalu hanyalah untuk memastikan kelancaran aliran trafik.

Bagaimanapun, tiada kawalan protokol dilakukan dan pergerakan kumpulan itu perlu patuh kepada peraturan jalan raya seperti pengguna lain termasuk berhenti ketika lampu merah serta bergerak hanya pada kelajuan 60 kilometer sejam.

“Pihak penganjur meminta jabatan itu membantu bagi memastikan tidak berlaku sebarang kesesakan jalan raya yang menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna lain.

“Semasa kembara itu memasuki Perlis, JPJ bertindak memecahkan konvoi kepada beberapa kumpulan kecil terdiri daripada 10 hingga 12 buah kenderaan.

“Setiap kumpulan kecil itu bergerak dengan dipandu arah oleh kenderaan JPJ sebagai ‘lead car’ ke destinasi dituju bagi memastikan mereka tidak tersasar dan mengelakkan kesesakan jalan raya.

“Pergerakan kembara tersebut tidak menggunakan laluan sesak dan pemilihan jalan raya yang lebih jauh serta tidak sibuk dengan kenderaan lain dipilih bagi memastikan keselesaan kepada pengguna lain,” kata Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah.

Selain itu, pihak JPJ turut melakukan advokasi kepada peserta mengenai kesalahan-kesalahan lain seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, penggunaan cermin gelap serta lain-lain pengubahsuaian.

Ada dalam kalangan peserta mendapat kelulusan menggunakan cermin gelap atas beberapa faktor seperti keselamatan, kesihatan dan lain-lain.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here