Ducati Monster Senna diperkenalkan, 341 unit sahaja dihasilkan

113

Sedar tak sedar, rupanya sudah 30 tahun Ayrton Senna meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan dalam perlumbaan Grand Prix San Marino di litar Imola.

Namun begitu, legasi Senna terus dikenang hingga ke hari ini. Tribut terbaru datang daripada Ducati menerusi Monster edisi istimewa yang direka khas sebagai tanda penghormatan kepada pelumba F1 itu.

LIVERY KUNING, HIJAU DAN BIRU YANG IKONIK



Dikenali sebagai Monster Senna, model ini tampil dengan livery kuning, hijau dan biru yang diinspirasikan dari topi keledar Senna yang juga merupakan warna bendera negara kelahirannya iaitu Brazil.

Tidak cukup dengan itu, jentera ini tampil lebih eksklusif dengan plak nombor siri pengeluaran pada bar hendal dan juga animasi kustom untuk paparan 4.3 incinya.

Naik taraf untuk Monster Senna tidak terhad kepada aspek kosmetik sahaja kerana ia juga didatangkan dengan pelbagai ‘jajan’ termasuk penyenyap gentian karbon Termignoni, perehat kaki billet aluminium dan rim tempaan aluminium.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan bateri litium ion dan mudguard gentian karbon. Penggunaan komponen-komponen ringan ini menjadikan Monster Senna 4.5 kg lebih ringan berbanding versi standard.

Turut disertakan sebagai kelengkapan standard adalah sistem suspensi Ohlins dan sistem brek Brembo bersama angkup Stylema yang dicat warna kuning.

Sayangnya, tiada sebarang perubahan dalam aspek trenkuasa. ‘Nadi’ Monster Senna masih lagi enjin Testastretta dua silinder bersesaran 937 cc yang menghasilkan 111 hp pada 9,250 rpm dan 93 Nm pada 6,500 rpm.

HANYA 341 UNIT DIHASILKAN

Ducati akan menawarkan hanya 341 unit Monster Senna, di mana nombor ‘3’ merujuk kepada jumlah gelaran juara dunia, manakala ’41’ adalah jumlah perlumbaan yang pernah dimenanginya.

Harga jualan bermula dari $25,000 (RM117,162) dan pembeli juga akan menerima sijil pengesahan ketulenan dan kain pelindung motosikal.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here