#TunggangUji: Ducati Monster – “Sesuai untuk orang pendek macam penulis dan laju yang amat!”

1146

Motosikal kategori naked ini, Ducati Monster adalah satu daripada model penting dalam jenama Itali, yang mana pada satu masa ia dijual hampir separuh jumlah Ducati seluruh dunia.

Ia juga boleh dianggap sebagai motosikal ‘entry level’ pada ketika itu terutama bagi mereka yang baru berjinak dalam dunia jentera dua roda dengan enjin berkapasiti tinggi.

Namun bagi model baharu ini, adakah ia masih lagi dalam kategori ‘entry level’? Bagi penulis, ia sebenarnya sudah melepasi segmen ‘entry level’ itu terutama kuasa yang dibekalkan tersangat padu!



Enjin Testastretta 11  V-twin

Berhubung enjinnya, rangkaian kuasa yang digunakan turut berkongsi dengan Hypermotard 950 dan Multistrada 950. Jadi anda boleh bayangkan bahawa enjin ini mempunyai ciri kelebihan yang tersendiri.

Enjin yang menepati tahap Euro 5 dan mampu menghasilkan kuasa 111 hp pada 9,250 rpm dan 93 Nm tork pada 6,500 rpm, boleh dirasai kuasanya sebaik sahaja memulas pendikitnya.

Tindak balas kuasanya cukup agresif lebih-lebih lagi menggunakan mod Sport (turut ditawarkan,Touring dan Urban) yang mana kuasa pecutannya tidak langsung ‘kedekut’ untuk dikerahkan pada kelajuan maksimum.  

Lagi pun, model ini lebih ringan sehingga 18 kilogram (berat kering keseluruhan 166 kg) berbanding sebelumnya dan ia juga membantu membuatkan jentera lebih responsif untuk pecutan.

Untuk pertukaran gear enam kelajuannya pula, ia lebih senang dengan penggunaan tarikan tuil klac yang lebih ringan serta turut menggunakan Quick Shifter.  Jadi tidaklah terlalu penat untuk menukar gear terutama di jalan sesak atau layan selekoh.

Tiada lagi kerangka Trellis

Bagi model baharu ini, tiada lagi karakter asal Monster sebelum ini dengan tiub bulat (Trellis) yang boleh dilihat pada bahagian enjinnya.

Namun, ia diganti dengan kerangka inspirasi daripada Panigale, sementara lengan ayunnya pula, yang lebih mirip seperti model Mulstistrada. 

Beberapa hari menunggang Monster ini, penulis boleh rasakan karakter asal Ducati  sebelum ini seperti rasa getaran agak minimum. Ia lebih selesa dan kurang rasa penat serta yakin ketika menunggang pada kelajuan tinggi.

Apa yang dilakukan oleh jurutera Ducati pada Monster ini ternyata satu kejayaan baharu untuk motosikal mereka untuk rasa ‘relax’ dan santai.

Pada masa sama, kombinasi kerangka, suspensi fork USD 43 mm tiada pelarasan di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang turut membuatkan jentera ini lebih mudah dikendalikan di selekoh.

Tempat duduknya juga tidak terlalu lebar untuk memudahkan peha mengapit di bahagian tangki, selain membuat kaki sampai ke lantai lebih mudah buat penulis dengan ketinggian 163 cm.

Mereka yang lebih rendah, anda jangan risau. Ducati turut menawarkan tempat duduk yang lebih rendah juga ada disediakan. Cuma itu kena beli la!

Reka bentuk

Kehadiran Monster ini adalah satu revolusi baharu dalam kejuruteraan Ducati. Ia masih kekal karakter bentuk lama dalam segmen naked, tetapi diterapkan dengan teknologi terkini.

Biarpun ia tidak menggunakan kerangka Trellis, ia masih reka bentuk Monster sebelum ini dengan padanan lampu bulat di hadapan. Cuma, model ini tidak mempunyai ekzos berkembar di bawah pelana belakang.

Ia juga mengalami perubahan dengan lampu hadapannya dengan padanan LED bersama DRL dan tangki bahan api 14 liternya mempunyai lebih banyak lekuk berbanding bulat besar pada Monster sebelum ini yang lebih nampak futuristik.

Apa yang penulis suka adalah lampu isyaratnya yang terletak pada kerangka hadapan sekali gus tampak lebih kemas. Lampu bernyala pun dah macam lampu isyarat Audi yang bergerak-gerak.

Dengan penggunaan skrin TFT-LCD yang mana paparannya lebih menyerupai seperti Panigale V4. Tahap rpm di bahagian tengah skrin yang mudah dilihat pada siang hari dan kurang silau.

Ciri keselamatan

Memandangkan jentera ini boleh dikatakan agak ‘liar’ ketika ditunggang, ia dilengkapi dengan Wheelie Control serta Launch Control. 

Wheelie Control boleh dilaras secara berasingan sementara mod tunggangan, Traction Control dan Wheelie Control boleh dilaras sewaktu motosikal bergerak. 

Ia juga dilengkapi dengan ciri ABS dan kawalan cengkaman dengan lapan tahap untuk memastikan keselamatan penunggang.

Bagi kuasa hentiannya, brek hadapan menggunakan cakera berkembar 320 mm yang diapit angkup empat piston Brembo M4.32, manakala di belakang cakera 245 mm dengan angkup Brembo satu piston.

Servis Berkala, Warna Dan Harga

Kalau bercerita pasal Ducati, ramai yang takut kalau berhubung servis penyelenggaraannya. 

Bagi Monster baharu ini, ia sebenarnya lebih jimat kerana servis penukaran minyak hitam pada setiap 15,000 km, manakala talaan semula injap Desmo pada 30,000 km. Ia satu jangka masa yang agak lama untuk melakukan servis itu.

Monster ini bukan sahaja ditawarkan warna Ducati Red, tetapi turut didatangkan Dark Stealth dan Aviator Grey. Bagaimanapun, penulis lebih gemar untuk memilih Ducati Red, kerana ia warna sinonim dengan Ducati, macam Ferrari! Harganya pula RM69,900.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here