BAW 212 nampak seperti kacukan Wrangler, Bronco dan Defender

56

Reka bentuk kenderaan dari China telah banyak bertambah baik sejak kebelakangan ini namun tidak dinafikan masih ada beberapa jenama ‘meminjam’ rekaan daripada jenama-jenama lain.

Salah satunya adalah Beijing Auto Works (BAW) 212, model SUV off-road yang kelihatan tidak ubah seperti kacukan model-model terkenal seperti Jeep Wrangler, Ford Bronco dan Land Rover Defender.



Untuk pengetahuan, 212 merupakan model generasi kedua yang tampil sebagai pengganti BJ212 yang dikeluarkan sejak 1965 lagi. Ia dijangka memasuki pasaran pada separuh kedua tahun ini.

212 akan ditawarkan dalam versi standard dan flagship yang dikenali sebagai 212 Special Edition. Ia mempunyai lampu LED berbentuk bulat, gril ringkas dengan tiga bukaan melintang dan dapra plastik berwarna hitam.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan pemijak sisi, penahan lumpur dan bekas tayar gantian pada bahagian belakang – ciri-ciri yang biasa dilihat pada SUV lasak.

212 Special Edition tampil lebih menonjol dengan rekaan bampar dan gril yang berbeza, snorkel, skup udara pada bonet, dapra dalam warna badan dan tayar BFGoodrich.

Ukuran dimensi model ini adalah 4,705 mm panjang, 1,895 mm lebar dan 1,936 mm tinggi, manakala beratnya adalah 2,150 kg.

Berbeza dengan bahagian luarannya yang kelihatan begitu rugged, ruang kabin 212 nampak lebih moden dan canggih dengan adanya kluster instrumen digital dan skrin sentuh yang besar.

Selain itu, terdapat juga panel butang untuk fungsi-fungsi pemanduan off-road seperti mod 4H, 2H dan 4L, Hill Descent Control dan Differential Lock, serta apa yang kelihatan seperti pengecas telefon tanpa wayar.

212 dikuasakan oleh enjin turbo 2.0 liter empat silinder yang menghasilkan 248 hp. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan empat roda.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here