Volvo panggil semula 71,956 unit EX30 kerana isu pepijat perisian

84

Volvo EX30, SUV elektrik terkecil syarikat itu, mendapat pujian melangit sejak ia dilancarkan di peringkat global pada tahun lalu.

Bagaimanapun, hanya selepas beberapa bulan berada dalam pasaran, EV yang dipasang di China itu mula dilanda isu pepijat perisian pada meter digitalnya.

Pepijat tersebut menyebabkan paparan speedometer digital pada skrin sentuh tengah bertukar kepada mod ‘ujian’ apabila kereta dihidupkan.



Menurut laporan Bloomberg, Volvo telah memanggil semula semua EX30 yang diproduksi setakat ini iaitu sebanyak 71,956 unit yang terjejas dengan masalah ini.

Namun pelanggan tidak perlu menghantar kereta mereka ke mana-mana pusat servis Volvo kerana isu itu boleh diselesaikan dengan mudah menerusi kemaskini Over-the-Air (OTA).

Walau bagaimanapun, isu ini dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada Volvo memandangkan ia baru sahaja menyelesaikan isu perisian sistem bantuan pemandu pada EX90 yang menyebabkan produksi terpaksa ditangguh selama enam bulan.

Setelah dua tahun diperkenalkan, SUV elektrik dengan tiga barisan tempat duduk itu akhirnya memasuki fasa produksi di kilang pemasangan Volvo di Charleston, South Carolina pada minggu lalu.

Malah, pengeluar dari Sweden itu sebenarnya terpaksa menangguhkan penyerahan EX30 pada awal tahun ini akibat masalah perisian lain.

EX30 ditawarkan dengan beberapa pilihan trenkuasa. Varian tertinggi iaitu Twin Motor Performance mempunyai 428 PS dan 543 Nm yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat, sekaligus menjadikannya kereta Volvo terpantas setakat ini.

Dengan bateri berkapasiti 64 kWj, ia boleh mencapai jarak sejauh 460 km dengan satu cas penuh berdasarkan kitaran WLTP.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here