Yamaha NMax 2024 dilancarkan di Indonesia dengan transmisi YECVT

181

Sempena dengan ulang tahun ke-50 pada 6 Julai depan, PT Yamaha Indonesia Motor Mfg. (YIMM) telah memperkenalkan Yamaha NMax versi 2024 yang tampil dengan pembaharuan melibatkan aspek reka bentuk, kelengkapan dan enjin.

Di Indonesia, NMax 2024 didatangkan dalam lima versi iaitu Neo, Neo S, Turbo, Turbo Techmax dan Turbo Techmax Ultimate. Harga bermula dari 32.7 juta rupiah (RM9,447) untuk Neo hingga 45.25 juta rupiah (RM13,076) untuk Turbo Techmax Ultimate.



Seperti yang boleh dilihat, NMax 2024 diberikan lampu depan Full LED Dual Projector yang mampu memberikan pencahayaan yang lebih baik. Lampu belakang juga menggunakan teknologi Full LED dengan rekaan yang lebih moden dan menarik.

Bahagian kokpit pula menampilkan panel meter berkembar lengkap dengan sistem navigasi Garmin dan fungsi Y-Connect yang membolehkan penunggang mendapatkan maklumat mengenai jadual penyelenggaraan, lokasi terakhir motosikal dan notifikasi masalah teknikal motosikal menerusi telefon pintar mereka.

Kelengkapan lain yang turut disertakan termasuk port pengecas USB-C pada kompartmen kiri, sistem Smart Key dan sistem Stop & Start.

Bagaimanapun, perubahan terbesar yang dibawa oleh NMax baharu terletak pada bahagian trenkuasa. Ia masih dikuasakan oleh enjin BlueCore 155 cc silinder tunggal seperti sebelum ini namun enjin tersebut kini dipadankan dengan transmisi Yamaha Electric CVT (YECVT).

Menurut Yamaha, YECVT mampu memberikan prestasi pecutan lebih baik dengan sensasi “turbo” menerusi mod tunggangan T-Mode (Town Commuting) dan S-Mode (Sport Touring) yang boleh diaktifkan menerusi tombol ‘Mode’ yang terdapat pada bahagian kiri bar hendal.

T-Mode sesuai digunakan di dalam kawasan bandar dan lebih cekap bahan api, manakala S-Mode pula memberikan pecutan yang lebih responsif untuk perjalanan jarak jauh. 

Tidak cukup dengan itu, YECVT turut membawakan fungsi Y-Shift yang membolehkan penunggang melaraskan prestasi pecutan dan engine braking dalam tiga tetapan iaitu Low, Medium dan High.

Sebagai tambahan, versi tertinggi iaitu NMax Turbo Techmax Ultimate didatangkan dengan satu ciri yang tidak disertakan pada versi-versi lain iaitu Performance Damper yang berfungsi untuk meningkatkan kestabilan ketika menunggang.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here