Jalan berlubang, rider dapat ganti rugi RM721,000

800

Seorang penunggang motosikal yang cedera akibat kemalangan melalui jalan berlubang, di Pasir Gudang, Johor Bahru tiga tahun lalu berjaya memperoleh ganti rugi RM721,000 daripada sebuah syarikat penyelenggaraan jalan.

Ia selepas Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 28 Februari lalu, memerintahkan syarikat yang dilantik kerajaan negeri itu, membayar kos berkenaan kepada Razali @ Mohd Leey Subeh, 49.

Berdasarkan alasan penghakiman yang dimuatnaik dalam sistem kehakiman Sabtu lalu, Hakim, Sazlina Safie berkata, Razali selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutannya, apabila syarikat itu gagal memfailkan sebarang hujahan bertulis atau lisan, sehingga ke tarikh keputusan berkenaan dibuat.



Katanya, lubang itu masih kekal rosak, tanpa sebarang pembaikan, sejak kejadian berlaku pada 11 Februari 2021 sehingga kerja-kerja penggalian pada 29 September 2022.

Selain itu beliau berkata, syarikat berkenaan selaku defendan pertama telah memplidkan kenyataan yang bercanggah, bahawa mereka tidak menjumpai lubang di jalan tersebut.

Bagaimanapun katanya, kerosakan didapati wujud akibat kerja-kerja kemudahan awam.

“Akibat kemalangan tersebut, plaintif mengalami kecederaan di bahu, lengan, jari dan kepala,” katanya.

Beliau berkata, menerusi pembelaan defendan pertama, syarikat itu menyatakan lubang berkenaan bukan di bawah tanggungjawabnya kerana lokasi kejadian melibatkan peranan syarikat utiliti lain berserta subkontraktor yang telah dilantik untuk menyelenggara.

Bagaimanapun, hakim ini berkata, defendan pertama, gagal membawa pihak ketiga, kontraktor atau pihak yang bertanggungjawab terhadap isu berkenaan.

Oleh itu, mahkamah percaya defendan telah gagal dalam tugas mereka untuk menyelenggara jalan berkenaan dan mereka bertanggungjawab kepada plaintif di bawah Seksyen 7(3) Akta Prosiding Kerajaan 1956 (GPA).

“Justeru mahkamah menganugerahkan plaintif RM352,947.33 untuk ganti rugi khas dan RM368,000 untuk ganti rugi am,” kata hakim ini.

SYARIKAT PENYELENGGARAAN FAILKAN RAYUAN

Pada 11 Februari 2021, Razali dalam perjalanan dari Taman Cendana ke Taman Kota Masai namun terlanggar jalan berlubang di permukaan jalan berkenaan menyebabkan dia terjatuh dan mengalami kecederaan.

Plaintif kemudian memfailkan saman terhadap syarikat berkenaan dan kerajaan negeri sebagai defendan pertama dan kedua.

Bagaimanapun pada 16 Mei 2022, plaintif telah menarik balik saman terhadap responden kedua (kerajaan negeri).

Berikutan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen itu, syarikat penyelenggaraan itu dilaporkan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Johor Bharu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here