#TahukahAnda: Jalan berlubang nak cari siapa?, ini pemilik lapan jalan di Malaysia

789

Tahun lalu, Malaysia berada di tangga ke-21 berdasarkan kualiti jalan dan kedudukan tersebut lebih tinggi berbanding negara maju misalnya Australia, United Kingdom dan New Zealand.

Sejauh manakah anda bersetuju dengan hasil kajian portal Statistik The Global Economy tersebut?, kerana isu jalan beralun, berlubang mahupun tidak rata terutamanya yang menjadi laluan utama kenderaan berat sering menghantui pengguna jalan raya.

Acap kali isu jalan berlubang diperkatakan, pihak yang sering dipersalahkan adalah Jabatan Kerja Raya (JKR). 



LAPAN JALAN DI MALAYSIA

Namun, tahukah anda sistem jalan raya di Malaysia memiliki hierarki jalan tersendiri dan setiap jalan dipertanggungjawabkan kepada pihak berkuasa tertentu. Bermakna, bukanlah semuanya di bawah seliaan JKR. 

Misalnya, jalan persekutuan dikawal selia oleh JKR manakala lebuhraya diselia oleh pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). 

Berdasarkan perkongsian Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), ada lapan kategori jalan di Malaysia dan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk penyelenggaraan. 

  • Jalan Persekutuan Bertol : KKR, LLM
  • Jalan Persekutuan : KKR, JKR Malaysia
  • Jalan Negeri : JKR Negeri
  • Jalan Felda, Felcra, Industri, Lembaga Kemajuan Wilayah : JKR Malaysia
  • Jalan Kampung : Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah
  • Jalan Bandaran : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
  • Jalan Pertanian : Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)
  • Jalan Pelancongan : JKR Negeri

JALAN PERSEKUTUAN

Sistem Jalan Persekutuan merupakan rangkaian jalan raya utama dalam negara dengan panjang 20,133.15km seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Jalan-jalan tersebut diberi nama laluan masing-masing dan diselenggara oleh KKR menerusi penswastaan.

Beberapa syarikat konsesi dilantik kerajaan bagi tujuan selenggara mengikut zon iaitu Jalan Persekutuan Utama, Jalan Persekutuan Felda, Jalan Persekutuan ke Institusi dan Jalan Persekutuan ke kawasan industri.

Kerja baikpulih utama melibatkan : 

  • Penyelenggaraan rutin : Menampal pothole, meratakan bahu jalan, potong rumput, cuci perabot jalan, jambatan, cuci longkang dan pemeriksaan berjadual
  • Penyelenggaraan berkala : Turapan dan bukan turapan
  • Kerja-kerja kecemasan : Pengalihan pokok tumbang dan bangkai binatang serta penyediaan laluan sementara beserta pengurusan lalulintas apabila berlaku cerun runtuh, jalan terputus akibat kegagalan pembetung/jambatan, banjir dan sebagainya

Bagaimana ingin mengenali Jalan Persekutuan?, setiap jalan didatangkan dengan kod nombor iaitu 1-99 bagi Semenanjung Malaysia. 

LEBUHRAYA BERTOL

Sementara, Lebuhraya Bertol merupakan jalan yang dikategorikan dibawah jalan Persekutuan.

Ia merupakan satu rangkaian lebuhraya moden yang lengkap dengan segala kemudahan dan keperluan bagi mengadakan suatu rangkaian pengangkutan jalanraya yang cepat, selamat dan cekap.

Kod jalan bertol dalam negara bermula dari E1-E39. Agensi yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyelia dan menyenggara jalan raya bertol ini adalah syarikat konsesi yang membina lebuhraya tersebut dan dikawal selia LLM. 

JALAN NEGERI

Laluan negeri adalah sistem jalan raya di setiap negeri di Malaysia melalui JKR masing-masing.

Secara umumnya piawaian yang digunakan oleh jalan raya negeri adalah sama seperti laluan persekutuan cuma bezanya dibiayai oleh kerajaan negeri.

Kod Jalan Negeri didatangkan dengan huruf yang mewakili plat kereta negeri masing-masing dan disusuli dengan nombor, misalnya :

  • Perak : Huruf A, contoh A4
  • Selangor : Huruf B, contoh B5
  • Pahang : Huruf C, contoh C4
  • Kelantan : D, contoh D24
  • Johor : J, contoh J10

JALAN BANDARAN & KAMPUNG

Jalan Bandaran merupakan jalan raya bagi setiap negeri yang disenggara oleh PBT iaitu majlis-majlis perbandaran, dewan bandaraya dan majlis-majlis daerah.

Manakala, Jalan Kampung merupakan jalan yang dikategorikan di bawah jalan Negeri. Biasanya dibina sebagai jalan raya berturap satu lorong namun ada juga jalan kampung yang dibina dengan dua lorong bagi menampung kapasiti trafik yang lebih tinggi.

BAJET 2024

Bagi Bajet 2024, Kerajaan Perpaduan memperuntukkan RM2.8 bilion bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan jambatan persekutuan.

Manakala peruntukan RM1.63 bilion bagi membina dan menaik taraf jalan di kampung dan desa.

Selain itu, RM100 juta disediakan bagi menyelenggara lampu jalan termasuk menggantikan kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik sehingga 60 peratus. RM50 juta turut disediakan untuk tujuan sama di kawasan PBT seluruh negara.

RM50 juta disediakan untuk merawat kawasan berkemalangan tinggi antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di jalan persekutuan bagi membantu mengurai kesesakan lalu lintas.

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here