Tiada mayat, bahan kimia dalam ‘kapal hantu’

310

Tiada penemuan mangsa termasuk sebarang bahan kimia berbahaya ketika pemeriksaan dilakukan ke atas ‘kapal hantu’ yang hanyut di kawasan Pelantar Semangkok A, Perairan Terengganu. 

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah, berkata seramai 17 anggota daripada Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Bomba dan Penyelamat serta tiga pegawai Jabatan Laut Malaysia masuk ke kapal tiga tingkat itu kira-kira jam 3.30 petang.

Menurutnya, ketika pemeriksaan awal, pasukan terbabit mengesan satu bau namun mendapati ia adalah bau bahan mentah yang sudah rosak daripada peti sejuk.

“Pasukan itu menggunakan dua alat pengesanan berteknologi tinggi iaitu ‘four gas meter’ dan ‘gasmet’.

“Hasil pemeriksaan selama satu jam di seluruh kapal itu pasukan tidak menemui sebarang mangsa serta bahan kimia berbahaya,” katanya. 

Abdul Halim berkata, kapal berukuran 53.7 meter panjang dan 10 meter lebar itu akan diserahkan kepada Jabatan Laut Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Pihak Maritim akan menjalankan rondaan bagi memastikan kapal terbabit tidak diceroboh masuk oleh mana-mana pihak,” katanya.

Kapal hantu berkenaan ditemui hanyut di kawasan Pelantar Semangkok A pada Selasa sebelum ditunda lebih dua hari sejauh kira-kira 140 batu nautika ke Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB), pagi Jumaat. 

Ia dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian kapal tangki yang terbakar pada kedudukan 36 batu nautika Tanjung Sedili Kecil, Johor 6 Ogos lalu yang mengorbankan seorang kru kapal warga Indonesia maut manakala empat lagi cedera.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here