
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan sebuah ‘kapal hantu’ yang hanyut di perairan Pelantar Minyak Semangkok A, Terengganu, pada Selasa.
Pengarah APMM Pahang Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata kapal tanpa nama seberat 292.9 tan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden sebuah kapal tangki terbakar di perairan Tanjung Sedili pada 7 Ogos lalu.
Beliau berkata kapal itu dikesan kira-kira empat batu nautika timur pelantar berkenaan, hasil laporan diterima Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan daripada MRSC Johor Bahru pada 4.45 petang, 12 Ogos lalu.
“Kapal itu hanyut melepasi kawasan pelantar minyak dan berisiko mengancam keselamatan pelantar lain di sekitarnya. Kapal terbabit kini dalam proses penundaan menuju ke Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) untuk tujuan penyelamatan,” katanya.
Pada 7 Ogos, media melaporkan seorang kru kapal warga Indonesia maut manakala empat lagi cedera dalam kebakaran membabitkan sebuah kapal tangki asing di kedudukan 36 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil, dekat perairan Johor Timur, Kota Tinggi, yang berlaku sehari sebelum itu.
Mazlan berkata pihaknya akan melaksanakan pemeriksaan terperinci termasuk siasatan identiti kapal serta aduan berhubung kemungkinan terdapat mangsa di dalamnya sebaik tiba di KSB.