
Lebih 4,000km jalan bekas laluan balak di Sarawak perlu dibaiki atau dibina semula bagi menjamin keselamatan pengguna dan merancakkan pembangunan ekonomi setempat, khususnya di kawasan pedalaman.
Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau, berkata kebanyakan laluan di kawasan seperti Baram masih menggunakan bekas jalan balak yang dibina sejak puluhan tahun lalu, dan kini berada dalam keadaan daif.
“Selaras dengan konsep Malaysia Madani, kerajaan perlu mengambil alih jalan-jalan balak bukan sahaja di Baram, malah di kawasan pedalaman lain seperti Ulu Rajang.
“Ia perlu diberikan peruntukan tahunan bagi tujuan pembaikan, penyelenggaraan serta menaik taraf jambatan,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Menurutnya, masalah bukan perkara biasa di Sarawak, namun impaknya di kawasan pedalaman lebih besar kerana ia menjadi laluan utama penduduk untuk ke pekan, sekolah, pusat kesihatan dan mengangkut hasil pertanian.
Anyi turut mencadangkan supaya projek naik taraf jalan yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), RMK12 dan RMK13 dipercepatkan proses pemberian tender bagi memastikan kerja pembinaan dapat dimulakan segera.
“Jalan yang baik bukan sekadar memudahkan pergerakan, tetapi turut menjadi pemangkin pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat pedalaman,” ujarnya.