
Pemandu lori yang dipercayai terlibat dalam kemalangan maut melibatkan anggota polis di KM94 Jalan Ipoh-Butterworth di Taman Selinsing Indah, Rabu lalu berjaya diberkas polis.
Lelaki berusia 64 tahun itu ditahan di rumahnya di Bagan Serai kira-kira jam 6.30 petang pada Khamis hasil risikan dan maklumat orang awam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Jafri Md Zain berkata, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian air kencing yang dijalankan adalah negatif.
“Pagi ini kita membawa suspek untuk pengambilan sampel darah bagi analisis kandungan alkohol,” katanya.
Dalam kejadian sekitar jam 5.15 petang itu, Konstabel Muhammad Hakim Danial Ruhiman, 23, dari Balai Polis Bagan Serai, maut selepas motosikal Honda ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori dari arah sama.
Mangsa cedera parah di bahagian pinggang dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8.15 malam di Hospital Taiping.
Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan, ada saksi melihat sebuah lori berwarna putih bertutup kanvas kelabu yang terlibat dalam nahas itu berhenti sebentar di bahu jalan sebelum beredar meninggalkan lokasi kejadian.