Aveta Ranger Max Explorer facelift rasmi lancar, harga kekal RM6,988

51

Aveta Malaysia rasmi memperkenalkan Ranger Max Explorer facelift selepas dua tahun berada di pasaran tempatan. 

Versi naiktaraf itu menerima penambahbaikan melibatkan :

  • Penggunaan brek cakera depan dan belakang untuk kawalan meyakinkan
  • Reka bentuk madgad depan dan pelapik fender baharu yang lebih maksimum menangkis percikan air serta lumpur
  • Butang pemegang dan grip dengan cengkaman mantap bersama balancer tambahan
  • Rangka T-bone berpaten yang kini lebih kukuh, mengekalkan struktur ringan dan memberikan kestabilan dan kawalan di atas jalan mahupun laluan lasak
  • Ruang kelegaan tanah ditingkatkan kepada 190mm, iaitu penambahan 10mm berbanding model sebelumnya
  • Pilihan warna baharu untuk varian Standard iaitu Iron Grey
  • Tawaran varian edisi khas (SE) baharu

Selain itu, beberapa komponen lain turut diperhalusi termasuk sistem penyerap hentak, pendawaian, meter kelajuan, kabel throttle, swingarm, pemijak kaki pembonceng dan tongkat utama bagi menawarkan pengalaman tunggangan yang lebih selesa dan lancar.

Untuk prestasi yang lebih efisien dan penyelenggaraan yang mudah, pam vakum digantikan dengan sistem bekalan bahan api yang lebih moden manakala berat keseluruhan jentera hanya 115kg.

Di samping itu, varian Standard didatangkan dengan rim jejari bersaiz 18 inci (depan) dan 16 inci (belakang) yang kemudian dibaluti dengan tayar dua guna.

Walaupun menerima segudang penambahbaikan, harga jualan varian Standard kekal pada RM6,988 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). 

Bagi penunggang yang menginginkan gaya sporty bolehlah memilih Aveta Ranger Max Explorer SE dengan warna badan eksklusif Storm Blue yang dijual pada harga RM7,188. 

Ia hadir dengan rim sport dua tona bersaiz 17 inci dan tayar jenis tubeless. Penampilan moden dipertingkatkan dengan pelindung ekzos bergaya.

Sempena pelancaran model berkenaan, Aveta menawarkan kotak atas di belakang bersaiz 36 liter bernilai lebih RM599 kepada 25 pelanggan terawal. 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here