
Aveta Nova 250 yang dilancarkan untuk pasaran tempatan beberapa bulan lalu, kini tampil dengan dua warna baru iaitu Titan Red dan Nordic Blue.
Ia adalah sebagai tambahan kepada warna Emerald Green dan Metro Grey yang memasuki sebelum ini.

Harga bagi warna Titan Red, Emerald Green dan Metro Grey adalah sama seperti pelancaran tahun lepas – RM14,388 tidak termasuk insurans.

Bagi pilihan warna Nordic Blue dijual RM1,000 lebih tinggi berbanding harga asal kerana hanya 688 unit disediakan di pasaran.
Dengan ciri eksklusif tambahan, bar pemegang aluminium serta pelekat logo Aveta di bahagian panel tepi dipadankan bagi model itu.
Jentera Nova 250 dipacu enjin satu silinder penyejukan cecair SOHC 244.3 cc, dipadankan transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan kuasa 25.5 hp pada 8,250 rpm dan tork 23 Nm pada 6,500 rpm.

Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api dari Bosch dan mempunyai nisbah mampatan 11.5:1.
Skuter ini dilengkapi rim 14 inci dengan tayar 120/70 di hadapan, dan 13 inci dengan tayar 130/70 di belakang, dan dipegang fork teleskopik serta dua penyerap hentak gas.

Tugas penghentian pula dijalankan tetapan cakera tunggal dengan angkup empat piston di hadapan, cakera tunggal dengan angkup dua piston di belakang, bersama sistem ABS dual-channel.
Turut membantu sistem keselamatan adalah kawalan cengkaman.

Nova 250 juga datang dengan pelbagai kelengkapan moden termasuk lampu LED, sistem kunci pintar, pemerhati tekanan angin tayar, soket pengecas USB-C, perakam video hadapan serta panel meter TFT-LCD tujuh inci dengan fungsi screen mirroring.

Manakala bagi tujuan pemanduan dengan jarak sederhana jauh, tangki bahan api pula berkapasiti 12 liter.





























