
TOYOTA GAZOO Racing memperkenalkan model edisi terhad GR Yaris Sébastien Ogier 9x World Champion Edition.
Model prototaip yang kini dalam fasa pembangunan akhir dipamerkan buat kali pertama sewaktu pusingan pertama Kejohanan Rali Dunia atau WRC 2026 di Rallye Monte-Carlo.
Model ini dihasilkan khusus bagi meraikan Sébastien Ogier (TGR-WRT) yang merangkul gelaran juara dunia kesembilan pada musim 2025, sekali gus berkongsi rekod sebagai pemandu dengan jumlah kejuaraan dunia terbanyak dalam sejarah WRC.
Penghormatan Buat Legenda Rali
Penghasilan model ini merupakan simbol penghargaan terhadap pencapaian luar biasa Ogier sepanjang musim 2025 yang menyaksikan persaingan sengit sehingga ke pusingan terakhir di Rally Saudi Arabia.
Dengan enam kemenangan dan 10 penamat podium daripada 11 perlumbaan,model ini menjadi manifestasi kepada semangat juang dan kecekalan beliau.
Selain meraikan sejarah rali yang tercipta, edisi ini juga merupakan penghargaan buat peminat yang sentiasa menyokong pasukan TOYOTA GAZOO Racing World Rally Team.
Sistem Kawalan 4WD Eksklusif
Berasaskan varian GR Yaris Aero performance package keluaran 2025, edisi Sébastien Ogier ini menerima talaan teknikal yang unik mengikut kesukaan dan identiti beliau.
Perbezaan paling ketara adalah pada sistem pemilihan mod pacuan empat roda.
Mod TRACK yang sedia ada pada model asas telah digantikan dengan mod SEB. yang ditala khusus untuk agihan tork 40:60 antara roda hadapan dan belakang.
Tetapan ini bertujuan memberikan kawalan yang lebih dominan pada roda belakang sambil mengekalkan ketajaman respons stereng di bahagian hadapan bagi membolehkan pemanduan berkelajuan tinggi yang lebih jitu.
Selain itu, mod GRAVEL pula digantikan dengan mod MORIZO.
Mod ini merupakan hasil eksperimen perlumbaan oleh Pengerusi Toyota Motor Corporation iaitu Akio Toyoda yang juga dikenali sebagai Morizo.
Ia berfungsi memaksimumkan sambungan terus antara roda hadapan dan belakang semasa pecutan, serta hanya melonggarkannya apabila perlu semasa membrek bagi mencapai tahap cengkaman dan prestasi selekoh yang tinggi.
Ogier secara peribadi menyukai dan memilih untuk menggunakan tetapan agihan daya pacuan yang dibangunkan oleh Pengerusi Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda atau Morizo melalui pengalamannya dalam perlumbaan rali.
Penampilan Luaran dan Rekaan Kabin
Bahagian luaran model ini tampil dengan warna eksklusif yang dinamakan Black Gravite yang melambangkan identiti aktiviti permotoran TOYOTA GAZOO Racing tahun 2025.
Rim pula diberikan kemasan Matte Black manakala angkup brek dicat dengan warna biru yang merupakan warna rasmi Sébastien Ogier.
Sebagai penghormatan kepada negara asal Ogier, bahagian gril radiator dihiasi dengan dekorasi tiga warna yang diilhamkan daripada bendera Perancis.
Ruang dalaman pula direka untuk meningkatkan operasi permotoran.
Stereng yang digunakan mempunyai diameter yang sedikit lebih kecil berbanding model asas dengan kedudukan suis pada stereng yang disusun semula secara bebas hasil maklum balas daripada jentera rali GR Yaris Rally2.
Jahitan benang pada stereng juga menggunakan riasan tiga warna iaitu biru, kelabu dan merah.
Di antara pembaharuan lain ialah penggunaan brek tangan menegak yang dibaluti kulit dengan jahitan kelabu eksklusif serta pemasangan plat nombor siri khas sebagai bukti keaslian model edisi terhad ini.
Eksklusiviti Pasaran dan Tempahan
Unit yang ditawarkan sangat terhad dengan hanya 100 unit diperuntukkan untuk pasaran Jepun.
Pelanggan yang berminat perlu melalui proses permohonan cabutan bertuah pembelian yang akan dibuka pada musim bunga 2026 melalui aplikasi telefon pintar rasmi TOYOTA GAZOO Racing iaitu GR app.
Selain Jepun, pasaran Eropah terpilih juga akan menerima agihan sebanyak 100 unit bagi model edisi khas ini.
Ciri-ciri Toyota GR Yaris Sébastien Ogier 9x World Champion Edition
- Sistem kawalan pilihan mod 4WD eksklusif mod SEB. dan mod MORIZO
- Warna badan eksklusif Black Gravite
- Warna rim eksklusif Matte Black
- Angkup brek berwarna biru
- Gril radiator dengan hiasan tiga warna
- Tandatangan Morizo pada cermin hadapan
- Emblem eksklusif Sébastien Ogier 9x World Champion Edition pada pintu belakang
- Pelekat eksklusif pada bahagian bawah pintu dan fender belakang
- Tuas brek tangan menegak dan sarung dibalut kulit dengan jahitan kelabu
- Jahitan tiga warna pada stereng eksklusif GR
- Plat nombor siri eksklusif Sébastien Ogier 9x World Champion Edition
- Paparan meter TFT GR eksklusif dengan paparan mod SEB. dan mod MORIZO





































