
Sebagai langkah mengurangkan karenah birokrasi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah diarahkan agar tidak lagi meminta bukti keluar negara bagi mendapatkan cetakan kad fizikal Lesen Memandu Malaysia (LMM) bermula hari ini.
Menurut kenyataan media, kadar fi cetakan RM20 untuk warganegara Malaysia dan RM100 untuk bukan warganegara Malaysia.
“LMM fizikal secara percuma adalah dikekalkan bagi warga emas berumur 60 tahun dan ke atas; pemegang Lesen Kelas A1 dan A; dan pemegang Kad OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pemandu yang memilih kad digital LLM akan terus dapat mengakses kad memandu digital secara percuma yang boleh diperbaharui melalui aplikasi MyJPJ tanpa perlu ke mana-mana pejabat.
“Orang ramai mempunyai pilihan untuk memohon cetakan kad fizikal LMM di semua kaunter JPJ dan UTC seluruh negara, secara terbuka dan tidak terhad kepada kategori
yang ditetapkan pada sebelum ini,” menurut kenyataan.
Sejak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memperkenalkan dasar Lesen Memandu Malaysia (LMM) digital pada Februari 2023, jumlah pengguna Aplikasi MyJPJ telah mencecah 13 juta setakat ini.





























